Iltizam JBPM laksana transformasi

Iklan
Abdul Wahab - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

SUMBANGAN Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan menyejahterakan negara sememangnya tidak dapat dinafikan.

Khidmat cemerlang pasukan itu sentiasa ditagih setiap masa tanpa mengira waktu bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin, sekali gus membantu negara bergerak maju ke hadapan.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, gerak kerja pemantapan JBPM perlu diselaraskan dan dipermantapkan secara berterusan bagi mengimbangi situasi semasa yang semakin mencabar.

Atas keperluan itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin bertekad membentuk JBPM menjadi sebuah jabatan disegani dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Iklan

Menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah bermula 15 Februari 2023 dan kemudiannya disambung semula pada 6 Jun lalu, amanah dan kepercayaan yang diberikan mahu dibalas sebaik mungkin.

Atas dasar itu, kata beliau, konsep #Bomba T.H.E-B.E.S.T akan dipacu ke tahap terbaik bagi menyemarakkan kecemerlangan pembangunan Malaysia tercinta.

Iklan

Beliau berkata, T yang merujuk kepada elemen Transform bakal menyaksikan satu usaha pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan kebombaan di negara ini.

Tambah beliau, perkara itu sangat penting bagi memastikan khidmat bakti diberikan relevan dengan persekitaran dan memenuhi jangkaan pelanggan jabatan.

Pelantikan barisan kepimpinan baharu Pengarah Bomba Negeri (PBN) melibatkan Kedah, Johor, Selangor serta Putrajaya yang disempurnakan oleh Abdul Wahab baru-baru ini. - Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurut beliau, H yang membawa maksud High Performance adalah tekad untuk merealisasikan visi jabatan menjadi sebuah organisasi kebombaan dan penyelamatan berprestasi tinggi.

Sementara, E pula merujuk kepada Ecosystem iaitu kerja kondusif, berintegriti, informatif dan interaktif, selain mempunyai jalinan hubungan baik dengan pemegang taruh serta pemain industri berkaitan.

"Elemen T.H.E adalah first priority (pelaksanaan utama) yang akan disempurnakan dan dipenuhi di peringkat jabatan atau organisasi bagi memantapkan sistem urus tadbir.

"Sementara B.E.S.T akan dilaksanakan oleh fire officer personnel atau semua anggota yang berada di peringkat lapangan atau di lokasi kejadian, dengan memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada masyarakat umum,” katanya kepada Sinar Harian.

Menjelaskan maksud B.E.S.T, Abdul Wahab berkata, B yang membawa maksud Brave atau berani dalam kalangan anggota bomba untuk mempunyai jati diri yang tinggi mendepani persekitaran kerja yang mencabar dan kompleks, sekali gus menyampaikan perkhidmatan kebombaan secara profesional.

Beliau memberitahu, huruf E adalah Emphaty iaitu menjadi warga jabatan yang prihatin dan menyelami kehendak pelanggan jabatan, berusaha sedaya upaya memberi perkhidmatan terbaik.

Katanya lagi, S membawa maksud Strength adalah situasi bagaimana pegawai bomba itu sendiri mempunyai kekuatan tersendiri dari segi keperibadian, kemahiran dan pengetahuan (A.S.K) dalam mengalas tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara yang terakhir, ujar beliau, huruf T merungkap istilah Teamwork atau budaya kerja secara berpasukan iaitu bersama-sama memperkuatkan (Stronger Together) iltizam bagi memastikan pihak jabatan terus berada maju ke hadapan.

JBPM persiapkan diri sekiranya berlaku kejadian kecemasan dan mengurangkan kadar risiko kerugian besar.

"Semangat dan iltizam #Bomba T.H.E-B.E.S.T ini akan dijayakan bersama oleh seluruh warga kerja JBPM demi negara dan kesejahteraan orang ramai.

"JBPM bukan sahaja berusaha mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini melibatkan kehilangan nyawa insan tersayang, malah apa yang penting dapat membantu pembangunan Malaysia sebagai negara maju,” ujar beliau.

Kaji bebanan tugas

Abdul Wahab menegaskan, antara keutamaan lain yang akan diberi perhatian penuh ialah memperkasakan lagi bahagian keselamatan kebakaran JBPM.

Jelas beliau, agenda tersebut sangat penting untuk dilaksanakan sepenuhnya demi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa kekal terjamin, seterusnya mengelak berlaku kejadian tidak diingini melibatkan jabatan kerajaan atau institusi penting negara.

Beliau berpendapat, sebuah negara akan terus berkembang maju sekiranya kurang berhadapan dengan situasi tidak diingini termasuk insiden kebakaran.

Beliau memberi contoh kes kebakaran atau kejadian cemas yang berjaya diatasi dengan segera merupakan satu kelebihan buat sesebuah negara melangkah lebih laju sebagai negara maju.

Jelas beliau, aspek keselamatan yang sentiasa dititik berat oleh kerajaan menjadi antara penyebab pelabur luar berminat berada di Malaysia.

Selain tugas memadamkan kebakaran, khidmat pasukan bomba turut merangkumi tugas menyelamat mangsa sesuatu tragedi.

Bukan sahaja negara yang makmur serta rakyatnya yang ramah, kata beliau, aspek dan tahap keselamatan yang baik juga menjadi pendorong besar kepada pihak luar datang melabur ke negara ini.

"Untuk itu, saya akan terus berusaha memastikan proses kerja anggota JBPM selari dengan misi dan visi ditetapkan, seterusnya mempercepatkan proses pembaharuan memulihkan negara.

"Apabila kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan negara dapat dipertingkatkan, maka ia akan meyakinkan kumpulan pelabur untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.

Menurut Abdul Wahab, bebanan tugas yang dipikul oleh JBPM di seluruh negara akan segera dikaji bagi mengelakkan tekanan besar dalam kalangan petugas, seterusnya memberi kesan terhadap output (hasil) kepada semua pemegang taruh.

Beliau berkata, bukan sahaja melibatkan kekurangan perjawatan di setiap jabatan atau balai bomba di setiap negeri, isu jentera dan kelengkapan bertugas juga akan diberi perhatian sewajarnya.

Penstrukturan semula

Selain itu, katanya, kesiapsiagaan anggota dan pegawai yang berada di negeri maju dan besar seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan terus diberi penelitian khusus terutama menangani situasi cemas.

"Oleh sebab itu, JBPM mewujudkan sebuah Task Force bagi meneliti dan menganalisis apa jua permasalahan melibatkan bebanan tugas anggota serta pegawai.

"Malah dengan adanya Task Force berkenaan, ia diharap dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja atau apa jua isu berbangkit melibatkan aset jabatan serta kelengkapan petugas.

"Selain itu, JBPM turut berusaha melakukan penstrukturan semula agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada seluruh masyarakat,” ujarnya.

Abdul Wahab berkata, pihaknya baru-baru ini telah mengadakan bengkel pemantapan jabatan bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menyusun semula struktur organisasi jabatan itu.

Menurutnya, ia melibatkan proses penstrukturan semula organisasi di semua peringkat agar budaya kerja lebih baik dapat diterjemahkan.

Selain itu, katanya, penganjuran bengkel tersebut diharap dapat meneliti risiko-risiko yang boleh berlaku di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk.

Jelasnya, perkara itu penting bagi JBPM mempersiapkan diri sekiranya berlaku kejadian kecemasan dan mengurangkan kadar risiko kerugian besar, malah paling penting mengelak berlaku insiden kehilangan nyawa.

"Perkara seumpama ini perlu diberi perhatian penuh agar tahap kesiapsiagaan tinggi dapat dikekalkan pada setiap masa.

"Kita tidak mahu sebarang kecelakaan yang terjadi memberi kesan mendalam kepada negara terutama melibatkan aspek nyawa manusia,” katanya lagi.

Pemantapan unit udara

Selain itu, Abdul Wahab memberitahu, JBPM turut berusaha meningkatkan keupayaan perkhidmatan jabatan melibatkan unit udara.

Beliau berkata, perkembangan unit udara JBPM akan terus diperkasakan terutama memberi perkhidmatan lebih pantas menuju ke lokasi-lokasi sukar.

Sehingga ini, kata beliau, terdapat tiga pangkalan unit udara JBPM di seluruh negara iaitu di Subang, Selangor; Bertam, Pulau Pinang dan Miri, Sarawak.

Katanya, perancangan membina pangkalan baharu dijangka akan dilakukan di Sabah ekoran hanya sebuah pangkalan terdapat di wilayah Borneo iaitu di Miri.

Jelas beliau, lokasi bagi perancangan pangkalan unit udara JBPM di Sabah sudah dikenal pasti dan proses pelaksanaannya kini di peringkat bajet.

"Bukan sahaja di Sabah, kita juga merancang untuk membina dua lagi pangkalan unit udara JBPM di zon selatan dan timur di Semenanjung.

"Pelaksanaan ini bertujuan memperkemaskan lagi gerak atur kerja udara serta meningkatkan lagi perkhidmatan unit udara tersebut,” ujarnya.

Jelas Abdul Wahab, operasi menyelamat, rawatan segera dan penghantaran mangsa-mangsa terlibat kemalangan atau tragedi akan menjadi lebih efisien apabila perkhidmatan unit udara JBPM dapat dipertingkatkan.


INFO
#Bomba T.H.E-B.E.S.T

T: TRANSFORM

Usaha melakukan pembaharuan dan penambahbaikan (transform).

H: HIGH PERFORMANCE

Merealisasikan visi jabatan menjadi sebuah organisasi kebombaan dan penyelamatan berprestasi tinggi (high performance).

E: ECOSYSTEM

Ekosistem kerja kondusif, berintegriti, informatif dan interaktif.

B: BRAVE

Mempunyai jati diri tinggi mendepani persekitaran kerja yang mencabar dan kompleks secara profesional.

E: EMPATHY

Menjadi warga jabatan yang prihatin dan menyelami kehendak pelanggan jabatan.

S: STRENGTH

Pegawai bomba mempunyai kekuatan tersendiri dari segi keperibadian, kemahiran dan pengetahuan (A.S.K).

T: TEAMWORK

Budaya kerja secara berpasukan (teamwork) dan bersama memperkuatkan (stronger together) iltizam.