SHAH ALAM - Pendedahan bahawa wujudnya ‘naungan politik’ melindungi pengendali perjudian dalam talian di negara ini jelas membuktikan perlunya Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan pembaharuan institusi.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley berkata, pembaharuan itu penting untuk membolehkan agensi penguatkuasaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan tugas dengan bebas tanpa ada campur tangan politik.
Menurutnya, dakwaan penglibatan orang politik dalam isu salah guna kuasa seperti melindungi kegiatan tidak bermoral itu bukan sesuatu yang baharu dibangkitkan namun sehingga kini belum ada sebarang penyelesaian.
"Kalau kita lihat ini (wujud naungan politik yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian) juga berkait rapat dengan konteks reformasi institusi yang lebih besar. Sebab itu jugalah kami amat menggesa Perdana Menteri untuk segera mempercepatkan pembaharuan institusi.
"Kita memerlukan SPRM yang bebas, pendakwa raya bebas dan institusi polis yang diperbaharui untuk menjalankan tugas mereka. Apabila kita mempunyai institusi yang kukuh dan bebas, mereka tidak akan takut untuk mengambil tindakan meskipun terhadap orang politik.
"Bagi saya langkah terbaik untuk segera menangani isu berkenaan adalah dengan terlebih dahulu melaksanakan pembaharuan institusi di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa terdapat ‘naungan politik’ yang melindungi pengendali platform perjudian dalam talian di negara ini.
Saifuddin Nasution ketika bercakap di Dewan Rakyat pada Khamis berkata, situasi tersebut kini menjadi kekangan terbesar yang dihadapi Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM dan kerajaan untuk membanteras kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
Mengulas lanjut, Sudhagaran berkata, semua pihak juga digesa supaya melihat pendedahan yang dibuat itu sebagai isu yang serius dan memerlukan kerjasama menyeluruh untuk menanganinya.
"Ia bukan sesuatu yang baru yang kita tahu. Kebanyakan orang sudah tahu tentang ini. Tetapi pengakuan yang dibuat sendiri oleh menteri ini (Saifuddin Nasution) menunjukkan beliau sedang berusaha menangani isu yang sangat serius pada tahap yang membimbangkan,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib turut mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan badan semak dan imbang dalam agensi penguatkuasaan negara.
Beliau dalam masa sama turut menegaskan orang politik perlu memiliki integriti yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah diberikan.
Jelasnya, dakwaan berlakunya penglibatan orang politik dalam perkara tersebut juga adalah memalukan dan tidak wajar berlaku.
"Orang politik seharusnya mempunyai integriti dalam melunaskan tugas masing-masing dengan meletakkan keselamatan dan kepentingan negara di tempat teratas berbanding peribadi,” tambah beliau.