GOL pemain skuad bola sepak negara, Safawi Rasid ketika Harimau Malaya menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dalam aksi persahabatan Rabu lalu disifatkan cukup berkualiti.
Malah bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menyokong sekiranya gol ketiga pasukan kendalian Kim Pan-gon itu dicalonkan untuk Anugerah Puskas.
"Kalau ikutkan gol itu merupakan satu gol yang cantik dan cukup berkualiti. Kita pun jarang-jarang dapat tengok kualiti teknik yang dipamerkan Safawi, tiga touch cara dia control.
"Dia menyambut bola dengan kaki kanan kemudian menimbang dengan kaki kiri, sambil memusingkan badan sebelum merembat ke gawang lawan dengan kaki kiri.
"Sekiranya ada peluang untuk kita calonkan itulah yang terbaik dan tidak salah untuk kita calonkan kali ini. Andai rezeki Safawi dengan jaringan itu dia boleh jadi pemain kedua dari Malaysia selepas Faiz Subri sebelum ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Terdahulu jaringan Safawi ketika membantu Harimau Malaya mengatasi Kepulauan Solomon 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Rabu mendapat perhatian media antarabangsa.
Media antarabangsa laman sesawang bola sepak terkenal, Bleacher Report Football (B/R Football) mencadangkan jaringan gol ketiga minit ke-77 bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dicalonkan untuk Anugerah Puskas FIFA.
Menerusi ciapan ringkas di media sosialnya, B/R Football memuat naik jaringan Safawi berserta kapsyen"Tambah Safawi Rasid ke senarai Puskas.”
Mengenai sentuhan penyudah pemain berusia 26 tahun itu bersama skuad Harimau Malaya, Akmal Rizal antara pemain tempatan yang pernah berkelana di Eropah pada 1999 percaya kualiti anak jati Dungun, Terengganu itu akan bertambah baik.
Katanya, bukan mudah untuk seseorang pemain tempatan menjadi pemain import bagi saingan liga negara luar.
"Namun apabila Safawi mendapat call up bersama skuad Harimau Malaya dan kemudian membalasnya dengan jaringan cantik sedemikian itu satu motivasi.
"Saya percaya selepas ini confidence level dia lebih tinggi dan bermotivasi untuk menggalas cabaran bersama pasukan kebangsaan.
"Selepas ini apabila Safawi bermain dengan pasukan JDT atau pasukan lain, dia akan lebih matang dan lebih baik berbanding dia sebelum ini,” katanya.
Sebagai rekod, Safawi sebelum ini dipinjamkan JDT ke kelab liga Thailand, Ratchaburi FC, pernah dipinjamkan ke kelab liga Portugal, Portimonense SC pada 2021, berkelana ke Thailand sejak Disember lalu.
Dalam pada itu, Akmal yang kini pengendali skuad Bawah 23 Tahun Penang FC menitipkan nasihat kepada Safawi,"Teruskan jadi yang terbaik jangan berasa terlalu selesa kerana karier ahli sukan profesional ini merupakan satu proses yang berubah-ubah mengikut peredaran masa.
"Tapi saya percaya dalam pasukan JDT, tiada para pemain yang akan merasa selesa kerana setiap pemain perlu bersaing untuk mendapatkan tempat.
"Sekiranya pemain sedikit terleka sememangnya memang tiada tempat dalam pasukan. JDT merupakan tempat terbaik dan sesuai untuk Safawi meningkatkan prestasinya.
"Dia takkan ada masa untuk merasakan dirinya selesa di JDT, kerana saingan di situ cukup sihat dan sengit dan saya percaya dia akan jadi yang terbaik.”