PENYERTAAN bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam perbincangan ekonomi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat sedikit sebanyak dilihat menimbulkan sedikit tanda tanya.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu hadir dalam mesyuarat tersebut bersama beberapa pakar ekonomi lain termasuk Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani,
Pertemuan berkenaan adalah bagi membentuk Naratif Ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.
Menurut Anwar, pihaknya kini mempunyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.
Jelas beliau, meskipun demikian, kerajaan bertekad dan akan bekerja keras bagi memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
Apa yang menjadi tanda tanya bagi kini adakah kehadiran Khairy Jamaluddin ketika pertemuan berkenaan menjadi satu isyarat sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan?
Umum mengetahui, hubungannya dengan UMNO ketika ini amat dingin.
Ia dibuktikan dengan satu komentarnya di laman sosial Facebook bahawa parti berkenaan akan 'bungkus' pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Tidak kurang, terdapat desas-desus yang menyatakan dia akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi menentang parti komponen Kerajaan Perpaduan kini.
Sekiranya tidak, mungkinkah Khairy Jamaluddin akan menyertai kem Anwar di bawah jalur Pakatan Harapan (PH) yang tampak lebih mesra.
Apa pun, 'plot twist' politik sekali lagi berjalan.