KPM sasar tingkat enrolmen murid prasekolah elak keciciran

Iklan
Fadhlina (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Najwa Zulkifli semasa membuat lawatan ke Kelas Tingkatan 1 K9 Arus Perdana dan Program pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sempena perasmian Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru sebagai Sekolah Komprehensif 9 di Kampung Pulau Beluru, Palekbang Tumpat pada Khamis. - Foto Bernama

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk meningkatkan enrolmen murid di prasekolah kepada 90 peratus berbanding 80 peratus ketika ini sebagai langkah awal mengekang keciciran di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, bagi mencapai sasaran itu KPM akan membuka lebih banyak prasekolah selain melakukan kempen advokasi kepada ibu bapa untuk menggalakkan mereka menghantar anak-anak ke prasekolah bagi mendapatkan pendidikan awal.

Iklan
Iklan

"Enrolmen prasekolah (ketika ini) adalah sekitar 80 peratus, sekolah menengah lebih kurang 78 peratus jadi agak rendah berbanding dengan sekolah rendah yang kita wajibkan itu iaitu pada kadar 98 peratus.

"Jadi kita ada dua segmen pelajar yang perlu kita beri tumpuan enrolmennya iaitu prasekolah dan juga sekolah menengah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sesi Motivasi bersama Cikgu Menteri di sini malam tadi.

Iklan

Beliau berkata, antara faktor kadar enrolmen prasekolah rendah adalah disebabkan kemiskinan iaitu ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke prasekolah, selain kekurangan kelas prasekolah yang sedang ditangani di peringkat kementerian.

Ditanya sama ada KPM berhasrat mewajibkan pendidikan prasekolah seperti sekolah rendah, Fadhlina berkata, pihaknya akan menyelesaikan dahulu isu-isu berkaitan prasekolah sebelum meneliti perkara itu.

Iklan

Mengulas mengenai keciciran di peringkat sekolah menengah, beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah yang akan dibentangkan di Parlimen dijangka dapat memastikan pelajar kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima.

"Sekolah menengah ini drop out (tercicir), orang tak sambung belajar ini disebabkan oleh macam-macamlah, kemiskinan, bekerja, kahwin, hamil dan memang mahu berhenti atau terlibat dengan pelbagai isu-isu sosial.

"Jadi untuk kekang isu-isu ini kita perlu juga ada dasar pendidikan wajib untuk sekolah menengah supaya mereka boleh kekal di sekolah sehingga tingkatan lima," katanya. - Bernama