TANAH MERAH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap empat ekor gajah liar di Kampung Peralla 1 di sini, Rabu lepas.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada penduduk terdapat sekumpulan gajah liar berkeliaran dan merosakkan pokok kelapa sawit di kawasan berkenaan.
"Hasil tinjauan di lokasi mendapati 10 ekor haiwan liar itu telah bergerak ke kawasan kebun getah penduduk. Susulan itu, dua ekor gajah betina dewasa bersama dua ekor anak kecil berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali.
"Kita mendapati gajah liar itu adalah dari ID Tapis yang mendiami Hutan Simpan Air Satan dan Hutan Simpan Jedok," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohamad Hafid berkata, gajah liar berkenaan didapati sering menceroboh beberapa kampung sekitar antaranya Kampung Peralla, Air Berdang, Air Kerla, Bukit Pauh, Bukit Durian, Kelisar dan Kampung Lepan Bola.
"Hasil pertanian yang telah dimusnahkan oleh kumpulan gajah liar ini ialah kelapa sawit, kelapa, getah dan pisang yang dianggarkan bernilai RM150,000.
"Empat ekor gajah liar akan dipindahkan ke habitat asal yang jauh dari penempatan manusia dan operasi pemindahan akan dilakukan dalam masa terdekat oleh Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Lanchang, Pahang," katanya.
Beliau berkata dengan kejayaan operasi tangkapan itu dapat mengurangkan kerugian hasil pertanian dan memberikan rasa selamat kepada penduduk setempat.
"Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan," katanya. - Bernama