PERMATANG PAUH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan libat urus bersama syarikat pengeluar susu formula bagi membincangkan berkenaan harga rahmah.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kenaikan harga susu formula di pasaran ketika ini malah tindakan segera akan dilakukan bagi mencari solusi meringankan beban rakyat.
Menurutnya, walaupun setakat ini KPDN tidak menerima sebarang aduan rasmi mengenai kenaikan harga susu formula, namun pihaknya mendengar keluhan orang ramai berhubung perkara itu dan terus mengambil tindakan susulan.
"Susu formula ini bukan barang yang kita kawal harganya, akan tetapi kita mengambil langkah dengan mengumpulkan semua jenama-jenama susu yang kebanyakan digunakan oleh orang ramai.
"Kita akan adakan libat urus dalam masa terdekat untuk berunding dengan pengeluar-pengeluar susu formula bagi membincangkan berkenaan harga," katanya ketika ditemui media selepas melancarkan treler Jualan Rahmah bergerak sempena Love Penang Agrofest@Pesta Mengkuang 2023 di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin dan Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan.
Sebelum ini, media melaporkan sejak dua minggu lalu kecoh di media sosial tentang kenaikan mendadak harga susu formula kanak-kanak antara RM10 hingga RM30 yang amat memberi bebanan kepada ibu bapa sedangkan dalam masa sama, harga lampin pakai buang dan yuran bulanan taska serta prasekolah turut meningkat.
Berikutan masalah itu, Fauziah menyeru pengguna agar memanfaatkan aplikasi mudah alih Price Catcher bagi membolehkan mereka merancang dan mengawal kos sara hidup dengan baik.
Beliau berkata, dengan menggunakan aplikasi berkenaan, orang ramai boleh membuat perbandingan harga sekali gus membantu pengguna mendapatkan barangan pada kadar harga paling rendah di kawasan masing-masing.
"Kita ada lebih 2,000 pegawai KPDN yang melakukan pemeriksaan harga di seluruh negara dan data-data yang diterima ini dimasukkan ke dalam aplikasi ini setiap hari untuk pengguna membuat perbandingan harga.
"Pengguna mempunyai pilihan dan boleh merancang perbelanjaan mengikut kemampuan dan keadaan kewangan keluarga masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program jualan rahmah bergerak yang diadakan, beliau berkata, ia bertujuan untuk memastikan program itu sampai secara terus kepada golongan sasar dengan membawa barangan keperluan harian terus ke lokasi penempatan rakyat.
Jelasnya, program ini juga menyediakan barangan keperluan harian pada harga mampu milik dengan pemberian subsidi oleh kerajaan.
"Pelaksanaan Jualan Rahmah bergerak ini akan menjelajah ke semua DUN bermula hari ini sehingga 28 Jun depan dan ia sekali gus memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang membuat persediaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu depan.
"Seterusnya, program jelajah ini akan diteruskan di semua kawasan Parlimen di negeri ini dengan kekerapan dua kali sebulan sehingga penghujung tahun ini," katanya.