KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport bulan ke bulan (m-o-m) tertinggi sejak April 2010 apabila eksport pada Mac tahun ini berkembang sebanyak 26.2 peratus manakala jumlah perdagangan meningkat sebanyak 25.9 peratus.
Mengikut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), import dan lebihan dagangan masing-masing berkembang 25.4 peratus dan 30 peratus, dengan peningkatan perdagangan telah dicatatkan dengan China, Arab Saudi, Taiwan, Australia dan Amerika Syarikat (AS).
"Eksport barangan perkilangan pada Mac 2019 merangkumi 84.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport yang meningkat 1.5 peratus kepada RM70.81 bilion.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, produk optik dan saintifik, kimia, produk makanan diproses serta produk kertas dan pulpa,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai prestasi perdagangan bagi Mac 2019 dan tempoh Januari hingga Mac 2019.
Berbanding pada Februari 2019, eksport barangan perkilangan, hasil galian dan pertanian masing-masing meningkat sebanyak 26.8 peratus, 24.2 peratus dan 22.2 peratus.
"Pada suku pertama (Q1) 2019, eksport barangan perkilangan meningkat 0.3 peratus kepada RM196.88 bilion berbanding pada Q1 2018, disokong kenaikan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, barang kemas, barangan optik dan saintifik, barangan kertas dan pulpa serta barangan makanan diproses,” katanya.
Eksport barangan hasil galian naik 3.8 peratus kepada RM21.97 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport LNG manakala eksport barangan pertanian menguncup 12.5 peratus kepada RM15.59 bilion, disebabkan penurunan eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit.
MITI juga berkata perdagangan dengan China yang merangkumi 16.5 peratus daripada jumlah perdagangan negara meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM25.44 bilion pada Mac 2019, manakala pada Q1 2019 ia berkembang 4.5 peratus kepada RM72.02 bilion berbanding pada Q1 2018.
"Eksport berkembang 11.8 peratus kepada RM11.67 bilion dipacu oleh kenaikan eksport produk petroleum, produk E&E, kimia dan dan bahan kimia, LNG serta bijih logam dan serpihan logam,” katanya.
Berbanding pada Februari 2019, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik 44 peratus, 37.3 peratus dan 50.2 peratus.
Pada Mac 2019, perdagangan dengan AS meningkat 2.1 peratus y-o-y kepada RM13.46 bilion atau 8.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
"Import daripada AS berkembang 10.6 peratus kepada RM5.83 bilion, disokong peningkatan eksport peralatan optik dan saintifik, produk getah, produk perkilangan berasaskan minyak sawit, barangan besi dan keluli serta barangan makanan diproses, di sebalik pengurangan eksport peralatan kelengkapan pengangkutan, produk petroleum, barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia,” katanya.
Sementara itu, perdagangan Malaysia pada Mac 2019 mencatatkan penyusutan marginal 0.3 peratus kepada RM153.73 bilion berbanding Mac 2018 dengan pengurangan perdagangan dicatatkan dengan Jepun, ASEAN, India, Hong Kong, Kesatuan Eropah, Republik Korea dan Turki.
"Berbanding pada Q4 2018, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing menguncup 12 peratus, 10.8 peratus dan 13.4 peratus. Lebihan dagangan berkembang 6.1 peratus,” katanya. -Bernama