8 warga Indonesia ditahan tangkap ikan tanpa kebenaran

Iklan
Antara lelaki warga Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia Selangor kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di sekitar perairan Pantai Remis pada Jumaat.

KUALA SELANGOR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan lapan warga Indonesia bersama empat bot fiber kerana menangkap ikan tanpa kebenaran di sekitar perairan Pantai Remis di sini pada Jumaat.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, kesemua individu berkenaan ditahan antara jam 11.28 pagi hingga jam 11.45 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, berpandukan risikan yang dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang terlibat dalam Op Ehsan dan Op Tiris mendapati empat bot fiber berkenaan dikesan melakukan tangkapan di perairan tanpa sebarang lesen dan dokumen yang sah.

"Pemeriksaan mendapati empat bot fiber itu dikendalikan dua lelaki warga Indonesia setiap bot berumur lingkungan 26 tahun hingga 55 tahun.

Iklan

"Selain itu, empat bot fiber tersebut dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Siva berkata, siasatan dijalankan juga mendapati kesemua suspek dibayar gaji bulanan sebanyak RM1,000 dengan komisen tambahan mengikut jumlah hasil tangkapan.

Iklan

"Kesemua mereka serta bot dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di zon maritim negara.

"Rondaan serta pemantauan sentiasa dijalankan di perairan negara.

"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.