[VIDEO] Tangisan dua beradik di kubur tidak bertanda

Iklan
Kesedihan dua beradik sejurus tiba di kawasan perkuburan Syaraek, Makkah.

MAKKAH - Kehadiran dua beradik, Nurul Syazwani Sajari, 32, dan adiknya Nurul Farhanah Sajari, 29, ke Tanah Suci bagi menunaikan haji pada tahun ini amat bermakna kerana dapat menziarahi kubur ayah mereka yang meninggal dunia tujuh tahun lalu.

Walaupun tidak mengetahui kedudukan sebenar kubur berkenaan kerana di Makkah semua persemadian tidak ditanda siapa penghuninya, sekurang-kurangnya ziarah itu dapat mengubat kerinduan yang menebal sejak sekian lama.

Iklan
Iklan

Sebaik tiba di Perkuburan Syaraek yang jaraknya kira-kira 15 kilometer dari Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah, Nurul Syazwani dan adiknya tidak dapat menahan sebak lalu menangis.

Doa yang dititipkan kepada ayah mereka berhampiran kawasan perkuburan Syaraek.

Dua beradik itu amat sedih kerana pemergian insan tersayang itu amat mengejutkan di saat mereka sekeluarga masih memerlukan limpahan kasih seorang ayah.

Iklan

Paling memilukan hati, sejak kematian itu, kehidupan Nurul Syazwani, Nurul Farhanah dan adik bongsu, Muhammad Syamil, 28, yang tidak dapat datang bersama ke Makkah kali ini berubah dengan sekelip mata.

Nurul Syazwani ditenangkan petugas haji ketika berada di Ibu Pejabat TH di Abraj Janadriyah.

Detik-detik manis perjalanan sebuah keluarga yang sentiasa bahagia dengan kasih sayang ayah dan ibu hilang direntap dengan pantas.

Iklan

Mengimbas kembali hari duka mereka sekeluarga, Nurul Farhanah berkata, semuanya bermula apabila ibunya Faridah Harun, 58, yang berada di rumah mereka di Puchong Indah menerima panggilan kematian berkenaan dari Arab Saudi.

"Saya ada bersama mak pada waktu itu, mak sedang bercakap di telefon dengan muka yang cukup terkejut dan sedih sambil mengucapkan Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un (Sesungguhnya kita adalah milik ALLAH dan semuanya akan kembali kepada ALLAH SWT).

"Mak menjerit kesedihan dan menangis. Saya rasa lama juga kami bersedih dengan kematian ayah. Kami sekeluarga pernah merancang nak datang buat umrah untuk tengok kawasan perkuburan ayah tapi tak kesampaian," katanya.

Pada 14 September 2016, Sajari Sawi, telah meninggal dunia di Khemah Mina, Maktab 83, Arab Saudi, akibat serangan jantung.

Allahyarham adalah anggota di Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi, Ibu Pejabat TH Kuala Lumpur dan telah berkhidmat dengan TH sejak tahun 1985.

Pada musim haji berkenaan, Allahyarham bertugas sebagai Penolong Pengurus Zon 1 (Madinah) dan telah beberapa kali bertugas di Tanah Suci.

Sajari

Menceritakan detik-detik terakhir pertemuan dengan Allahyarham, Nurul Farhanah berkata, ayahnya kelihatan amat gembira untuk bertugas di Tanah Suci pada waktu itu.

"Kami selalu hantar ayah untuk bertugas di Tanah Suci, tapi yang kali terakhir itu cukup berbeza kerana ayah nampak terlalu gembira tidak seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya.

Ujar Nurul Farhanah, kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah kerajinan ayahnya memasak untuk mereka sekeluarga.

"Ayah suka masak, setiap kali hari raya pasti ayah akan masak sesuatu yang istimewa terutamanya Nasi Arab. Selepas kehilangannya, hari raya bagaikan kosong," katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Nurul Syazwani berkata, setahun selepas kematian ayah, ibunya pula disahkan menghidap kanser gusi tahap dua.

Katanya, mereka ibarat jatuh ditimpa tangga apabila kesedihan yang belum reda ditambah dengan berita yang cukup memeritkan itu.

"Bermula dari saat itu kami tiga beradik berulang-alik membawa ibu mendapatkan rawatan di hospital.

"Genap dua tahun, ibu kembali kepada Maha Pencipta yang menjadikan kami berasakan dugaan yang dilalui pada waktu itu cukup berat," katanya.

Nurul Syazwani berkata, untuk meneruskan hidup sebagai yatim piatu amat mencabar bagi mereka, namun hasil sokongan dan bantuan saudara mara sebelah bapa dan ibu, mereka dapat harunginya sampai hari ini.

Mengakhiri perkongsian mereka, dua beradik itu berdoa agar ALLAH SWT mengasihi kedua-dua ibu bapa mereka sepertimana mereka mengasihi anak-anaknya.