MARAN - Seorang wanita warga emas maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Rush yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam 15 meter di jalan Lubuk Yu dekat Sungai Jering di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang berusia 60 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi.
Menurutnya, seramai lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Komander operasi melaporkan sebuah kenderaan Toyota Rush terbabas ke dalam gaung dan terdapat seorang wanita telah dikeluarkan oleh orang awam.
"Pasukan bomba membuat operasi menaikkan mangsa ke atas dengan menggunakan tali dan pengusung," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, mangsa berjaya dinaikkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," tambah Zulfadli.