PEMAIN tengah skuad kebangsaan Mohamed Syamer Kutty Abba memasang impian beraksi dan bersaing dengan pemain terbaik di Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Qatar pada Januari tahun depan.
Ini kerana pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 26 tahun itu percaya cabaran di pentas kejohanan bola sepak berprestij Asia itu dapat menjadikannya seorang pemain yang lebih baik.
"Di situ juga peluang untuk saya belajar dan tempat untuk saya melakukan yang terbaik buat negara supaya pasukan melangkah lebih jauh lagi,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel penginapan pasukan pada Sabtu.
Mohamed Syamer turut menyasarkan untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya sebanyak mungkin selepas mengumpul 22 penampilan di pentas antarabangsa dan menjaringkan satu gol setakat ini.
Baginya setiap perlawanan adalah proses pembelajaran dan beliau tidak mudah berpuas hati, sebaliknya sering berusaha memperbaiki kelemahan dalam perlawanan.
"Saya tahu setiap permainan, saya akan buat lebih baik untuk memikat hati ketua jurulatih dan untuk berikan aksi terbaik kerana pakai jersi Malaysia,” katanya.
Sementara itu, dia berkata, pasukan akan turun memburu kemenangan apabila menentang Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Selasa ini.
Katanya, ketika ini setiap perlawanan adalah penting dalam persediaan pasukan menghadapi cabaran getir di Piala Asia yang menyaksikan Malaysia diundi bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.
"Jadi kita jangka perlawanan (Papua New Guinea) bukannya mudah kerana lawan akan berikan yang terbaik, kami hanya akan laksanakan arahan jurulatih dan lebih bersedia untuk perlawanan itu,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Rabu lepas, sekali gus meraih kemenangan ketiga dalam aksi persahabatan sejak Mac. - Bernama