SHAH ALAM - Sikap terlalu prejudis dan skeptikal terhadap pakaian pekerja kesihatan perlu dihentikan kerana ia direka mengikut spesifikasi khas ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Pengamal undang-undang, Nadhirah Halim berkata, pakaian tersebut direka mengikut etika kod pemakaian dan penilaian risiko bagi memudahkan tugas yang dilakukan.
"Pakaian ini direka dengan 65 peratus dari poly dan 35 peratus kain kapas yang memberi tapisan maksimal terhadap kuman, material ini bukan jenis melekap di tubuh serta tidak menyerap kerana mereka berhadapan risiko tinggi sewaktu mengendalikan pesakit membabitkan cecair, darah dan infeksi dari pesakit.
"Setiap pegawai kesihatan juga mengendalikan peranti perubatan berwayar, mesin pengesan ritma jantung dan pelbagai mesin perubatan yang menggunakan pendawaian dan elektrik bervoltan tinggi seperti mesin ECG dan ventilator,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor, ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan mendakwa kebanyakan jururawat wanita berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
Ahli Parlimen daripada Pas itu meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil contoh beberapa hospital lain yang memberi pilihan kepada kakitangan wanita mereka untuk mengenakan pakaian lebih sesuai.
Beliau turut memberi contoh Hospital USM Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan malah turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua hospital ini memberi pilihan etika lebih baik buat pekerja.
Justeru, Nadhirah menegaskan pembangkang sepatutnya menggunakan sebaik mungkin ruang kapasiti sebagai ahli Parlimen untuk membincangkan isu rakyat yang lebih relevan dan idealis, bukannya berbahas isu peribadi serta mengkritik berperisaikan alasan agama.
"Dalam pada itu, mereka juga harus peka terhadap isu-isu dan masalah utama rakyat terutamanya dalam memperbaiki ekonomi serta kos sara hidup rakyat dalam peralihan fasa endemik serta harus lebih bijak dalam memahami keperluan pemakaian tertentu sesebuah profesion.
"Tindakan menilai iman dan agama seseorang dari pemakaian harus dihentikan sebaliknya lihatlah kepada keperluan pekerjaan serta sumbangan mereka dalam bidang perubatan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Pakaian jururawat ketat: MP Kuantan diminta tundukkan pandangan
Isu seragam jururawat: Banyak lagi isu boleh dibawa ke Dewan Rakyat
Isu pakaian jururawat tak wajar diperbesar - Cuepacs
'Pakaian jururawat wanita ketat, tak patuh syariah' - MP Kuantan