SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI]"Kami sekeluarga harapkan keadilan sewajarnya buat arwah ayah," luah anak kepada penunggang Ducati yang maut dalam kemalangan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini, Rabu lalu.
Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 36, berkata, dia berharap tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pelaku terlibat yang difahamkan sudah menyerah diri kepada pihak polis.
"Saya mendapat tahu penunggang motosikal lawan arus tersebut telah pun serah diri setelah dimaklumkan oleh pihak polis.
"Tidak ada yang kami pinta selain mengharapkan agar pelaku tersebut dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, biarpun dia dan keluarga masih terkejut dengan kejadian itu, namun mereka sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham.
"Kami reda dengan pemergian ayah, apa yang berlaku sudah pun berlalu, biarpun agak berat ujian ini, kami sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Jelasnya, dia tidak mahu perkara yang menimpa ayahnya berlaku kepada orang lain.
"Jadilah insan yang bertanggungjawab, jangan sesekali buat perkara yang boleh akibatkan kehilangan mereka yang tersayang.
"Bila tahu kita dalam keadaan salah seharusnya ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek telah membuat laporan polis berkaitan kemalangan tersebut, semalam.
"Suspek merupakan warga tempatan berumur 41 tahun dan bekerja sebagai peniaga kedai makan serta menetap di Kajang.
"Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang, suspek telah tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku," katanya.
Pada Rabu, seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini.
Mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus.
Mangsa kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter.
ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang Ducati maut: Suspek lawan arus dakwa tersesat jalan
'Pencinta Islam, al-Quran tidak lepas di tangan'
'Setidak-tidaknya suspek cari keluarga mohon maaf'
Polis teliti rakaman CCTV, kesan penunggang motosikal lawan arus
Penunggang Ducati maut jatuh 'flyover' elak motosikal lawan arus