Olimpik 2024: KBS, RTG bincang permintaan Azizulhasni, atlet

Iklan
Hannah semasa Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada Sabtu.

[DIKEMAS KINI] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) bagi membincangkan segala aspek keperluan atlet pada Isnin ini di Putrajaya.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perkara itu penting dalam hala tuju mempersiapkan para atlet dalam memburu kilauan pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mesyuarat juga akan memberi perhatian dan memperhalusi permohonan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

"Permintaan Azizulhasni sudah dikumpulkan bersama atlet-atlet lain dan akan dimasukkan dalam program RTG.

Iklan

"Seperti yang sudah dinyatakan, beliau adalah aset negara dan pasti jawatankuasa akan mempertimbangkan permintaan Azizulhasni untuk bersedia di Olimpik Paris,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Iklan

Sebelum itu, pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman tersebut melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sejak awal tahun ini.

Menurut Mohd Azizulhasni, beberapa siri perbincangan diadakan dengan MSN sejak setahun sebelum dia kembali ke Malaysia tetapi sehingga kini tiada penyelesaian dicapai.

Atlet berusia 35 tahun itu antara prospek terbaik Malaysia bagi menyumbang emas sulung Olimpik selepas dia meraih pingat perak dan gangsa - masing-masing pada temasya Tokyo 2022 dan Rio 2016.

Pada perkembangan lain, Hannah berkata, KBS juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi menangani isu rokok elektronik dalam usaha membina Generasi Penamat Rokok (GEG).

"Moto kami memang sukan, kesihatan dan gaya hidup sihat jadi akan bekerjasama ke arah itu,” ujarnya.

KBS umum RM500,000 utk sukan komuniti Kelantan

Dalam pada itu Hannah berkata, KBS mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk pengajuran sukan komuniti di negeri Kelantan.

Menurutnya, dana itu boleh digunakan oleh jabatan, agensi, persatuan belia, persatuan sukan, pertubuhan bukan kerajaan, kelab rukun tetangga dan persatuan penduduk dengan memohon melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri.

"Peruntukan keseluruhan diberikan Kementerian Kewangan ialah sebanyak RM20 juta untuk seluruh negara dan RM500,000 khas kepada Kelantan untuk pengajuran sukan dalam tempoh enam bulan akan datang pada tahun ini.

"Sukan itu termasuk permainan tradisi seperti gasing serta sukan-sukan lain yang tersenarai dalam Akta Pembangunan Sukan,” katanya.

Kata Hannah, persatuan belia boleh memanfaatkan dana tersebut dengan membuat permohonan selain memastikan menambahkan lagi jumlah keahlian.

"Saya berharap jumlah yang aktif dalam persatuan belia akan meningkat dua kali ganda pada tahun depan.

"Ini juga ‘mandat’ kepada JBSM Kelantan untuk pastikan program-program disertai oleh ramai orang muda,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam perkembangan berkait Program Rakan Muda yang diberi suntikan nafas baharu, katanya akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangi, Selangor pada minggu hadapan.

"Sepuluh teras akan diumumkan Perdana Menteri pada program itu nanti," ujar beliau.