TUMPAT - Peruntukan bagi menyelesaikan isu air di Kelantan akan diluluskan mengikut keutamaan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pertemuan di peringkat pegawai dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri melihat kepada projek lebih penting melibatkan masalah berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika melawat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan di Teluk Renjuna dekat sini pada Sabtu.
Tambah beliau, melalui perbincangan itu pihaknya telah mendapat angka yang jauh lebih rendah.
"Pada masa sama kita tekankan kepada keperluan pemantauan tata kelola di peringkat Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd ditingkatkan," katanya.
Bagaimanapun Nik Nazmi berkata, kementerian akan memuktamadkan dalam pertemuan bersama kerajaan Kelantan pada masa akan datang.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan permohonan RM8 bilion untuk menyelesaikan isu air Kelantan dan akan meneliti keperluannya.
Anwar berkata, ada syarat yang perlu dipenuhi sebelum perbelanjaan sebanyak itu dibenarkan tetapi tindakan segera seperti peruntukan dana dibincangkan bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak sampai dan tidak bersih.