SKUAD para negara terus menggegar Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan apabila berjaya merangkul tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 pada Sabtu.
Dua pelumba lelaki negara - Zuhairi Ahmad Tarmizi dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan masing-masing memenangi pingat emas acara acara omnium C5 dan kejar-mengejar individu C3.
Pelumba wanita, Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais yang dibantu Nurul Suhada Zainal (pilot) pula membawa pulang emas dalam acara kejar-mengejar individu B.
Satu pingat perak dimenangi Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dibantu Muhammad Khairul Adha Rasol (pilot) dalam acara kejar-mengejar individu lelaki B.
Nur Suraiya Muhamad Zamri yang dibantu Farina Shawati (pilot) dan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin pula masing-masing meraih gangsa acara kejar-mengejar individu wanita B dan kejar-mengejar individu lelaki C1.
Bagi Zuhairi, dia berpuas hati dengan pencapaiannya pada ACC kali ini apabila berjaya melengkapkan kesemua pingat dalam koleksi peribadinya termasuk memenangi perak dan gangsa.
"Dalam saingan omnium yang saya sertai ini, ada empat acara secara keseluruhannya. Saya memenangi pingat perak acara pecut berpasukan C1-C5 dan 1 kilometer (km) ujian masa C3 selain gangsa dalam acara scrath.
"Tetapi saya gagal meraih sebarang pingat dalam acara 4km C3. Bagaimanapun, tiga pingat yang saya raih itu sudah cukup membolehkan saya muncul juara keseluruhan omnium," katanya.
Sementara itu, Muhammad Adi Raimie berkata, dia bersemangat untuk menyambar pingat emas acara kejar-mengejar individu C3 selepas menjuarai acara 1km ujian masa C3 pada Khamis.
"Saya gembira kerana sekali lagi memenangi pingat emas. Walaupun gagal memperbaharui catatan peribadi terbaik hari ini (Sabtu), saya tetap bangga kerana masih mampu memenangi pingat emas," ujarnya.