Melaka teruskan operasi monorel

Iklan
Adly Zahari

MELAKA TENGAH - Perkhidmatan Monorel Melaka akan diteruskan operasinya walaupun dilapor mengalami masalah teknikal hingga menyebabkan tiga penumpang terkandas semalam.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, produk pelancongan itu akan terus dipantau dan ditambah baik sebagai jaminan ia masih selamat digunakan pelancong dan berharap insiden masalah teknikal seperti itu tidak berulang lagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bukan produk itu sahaja harus melalui proses penilaian dan penambahbaikan namun ia perlu dilakukan pada setiap produk pelancongan yang terdapat di negeri ini terutama yang melibatkan aspek keselamatan dan pihaknya juga tidak akan bertolak ansur dalam perkara itu.

Katanya, kerajaan negeri telah mengarahkan perbincangan dilakukan oleh agensi dan jabatan berkaitan sebagai usaha untuk meminimumkan risiko insiden monorel tersebut terutama yang membabitkan soal keselamatan pelancong.

Iklan

"Aspek keselamatan kita tidak boleh bertolak ansur, contohnya taman hiburan perlu mendapat kelulusan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dan agensi lain, tanpa sijil kita tidak akan benarkan ia beroperasi.

"Produk itu (Monorel Melaka) boleh digunakan tetapi mesti ditambah baik supaya kejadian tidak berfungsi itu berulang lagi sekali gus mengurangkan kecacatan," katanya.

Iklan
Adly (dua,kiri) ketika melawat salah seorang penghuni di Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal di Bukit Baru di sini, hari ini.

Adly berkata demikian kepada pemberita ketika lawatan ke Pusat Penjagaan Kanak-kanak Terencat Akal di Bukit Baru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Norazlee Sulaiman.

Tambah Adly, beliau yakin hasil perbincangan dan penilaian tersebut akan mencipta satu mekanisme terbaik untuk menangani masalah yang beberapa kali berlaku, memandangkan produk berkenaan telah menelan kos pelaburan tinggi.

Dalam kejadian petang semalam, terdapat dua dewasa dan seorang kanak-kanak berusia 8 tahun terkandas dalam Monorel Melaka pada ketinggian 4 meter di pesisiran Sungai Melaka sebelum kesemua mereka diselamatkan dan dibawa turun oleh anggota bomba menggunakan tangga.