SHAH ALAM - Kumpulan Karangkraf menerusi Grup Buku Karangkraf menerbitkan novel nipis genre seram, Siri Gerbang Puaka bagi menggalakkan budaya membaca terutama dalam kalangan pelajar.
Editor Kanan Unit Novel Grup Karangkraf, Mazuen Yahaya berkata, golongan pelajar kini lebih berminat dengan bahan bacaan yang nipis dan jalan penceritaan yang tidak terlalu panjang.
Menurutnya, golongan remaja akan menjadi cepat bosan jika mengambil masa yang lama untuk menghabiskan sesebuah buku atau novel yang terlalu banyak muka surat.
"Oleh itu, kami tampil dengan memfokuskan golongan remaja berumur 12 tahun ke atas.
"Terdapat 10 buku di bawah projek Siri Gerbang Puaka. Novel-novel tersebut ialah Gundik Uyang, Hilang, Zon Hitam, Kisah Latifah, Hotel Sans Devily, Dorm, Dendam, Sarung Mantera, Puaka Orang-Orang dan Ghost Writer.
Jelas beliau, dengan pendekatan baharu itu diharapkan golongan pelajar akan tertarik untuk membaca, seterusnya dijadikan hobi.
"Kami menawarkan novel tersebut dengan harga RM14 yang mampu untuk dimiliki oleh semua pihak termasuk pelajar sekolah.
"Dari segi penulisan pula, ia sangat sesuai untuk pelajar dan mudah difahami,” jelasnya.
Beliau mendedahkan Siri Gerbang Puaka sangat dekat dengan pelajar kerana banyak lokasi yang diceritakan oleh penulis adalah di sekitar kawasan sekolah.
"Diharap Siri Gerbang Puaka mendapat sambutan daripada semua pihak,” ujar Mazuen.