TUMPAT - Seorang pembantu kedai bukan sahaja kerugian RM1,700 malah cedera pada anggota badan selepas disamun di selekoh Kampung Pauh Sebanjar di sini semalam.
Dalam kejadian 7.20 malam, mangsa berusia 22 tahun cedera pada tangan, kaki, muka dan bengkak di kepala apabila motosikalnya terbabas ditolak suspek lelaki yang menunggang motosikal bersama rakannya.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke rumahnya di kampung Bendang Pak Yong.
"Sebaik tiba di lokasi, motosikal yang tidak dikenali dari arah belakang dinaiki dua lelaki menarik beg bimbit mangsa yang berada di dalam raga motosikalnya.
"Suspek turut menolak motosikal Honda Dash mangsa menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa kerugian RM1,700 apabila rantai emas bernilai RM1,5000 dan wang tunai berjumlah RM200 serta MyKad dan kad nikah yang berada dalam beg itu dilarikan suspek.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.