JOHOR BAHRU - UMNO Johor mahu semua 26 ketua bahagian menghantar jentera yang komited dan berpengalaman untuk membantu BN dan Pakatan Harapan (PH) berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah mereka yang dihantar akan mengikut keperluan dan keluasan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kita mahu jentera yang dihantar mempunyai pengalaman dan tahu mengenai selok-belok pilihan raya untuk bantu di bahagian-bahagian yang mereka ditugaskan.
"Mereka (jentera) jangan tunggu sehingga bubar DUN (Dewan Undangan Negeri) atau ketika hari penamaan calon baru tunjuk muka. Ini masanya untuk membalas budi mereka yang pernah membantu Johor menang (PRN) sebelum ini sehingga menang 40 daripada 56 (kerusi DUN)," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata demikian dalam sidang akhbar semasa melakukan lawatan ke Wisma Bank Simpaan Nasional (BSN) Johor di Jalan Abdullah Ibrahim di bandar raya ini pada Ahad.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasnurizah Hassan dan Pengarah BSN Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail.
Ahmad berkata, UMNO Johor tidak mahu jentera yang dihantar itu bertugas sambil lewa dan hanya datang pada waktu pagi dan pulang pada sebelah malamnya dengan tidak 'berkampung' di negeri itu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu, jumlah jentera yang akan dihantar UMNO Johor masih belum diputuskan lagi ketika ini.
Menurutnya, setiap bahagian akan menghantar wanita, pemuda dan puteri di bahagian-bahagian yang akan ditetapkan dengan sebagai contoh, UMNO Bahagian Pontian akan membantu di Port Dickson.
"UMNO Pontian kawan menjadi 'keluarga angkat' bagi Parlimen Port Dickson yang mempunyai empat kawasan DUN," ujar Ketua UMNO Bahagian Pontian itu.
PRN akan akan diadakan tidak lama lagi di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.