SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket dipercayai terlibat dalam kegiatan ganggu enjin dan casis lori menerusi serbuan di 10 bengkel di sekitar Selangor dan Perak.
Serbuan Op Lejang Khas itu yang dijalankan pada 12 hingga 16 Jun itu dijalankan bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut sumber, operasi itu bertindak menahan 18 lelaki termasuk 11 warga asing iaitu lapan Indonesia dan tiga Myanmar.
Menurutnya, siasatan mendapati tiga daripada suspek membabitkan sindiket yang diberkas di Perak manakala suspek lain berperanan sebagai pemilik, penyelia dan pekerja bengkel.
Tambahnya, terdapat satu sindiket yang berleluasa dan aktif sejak 30 tahun lalu yang diwarisi suspek daripada bapanya.
Katanya, dengan rampasan peralatan-peralatan tampering tersebut, tiada lagi sindiket yang mempunyai alat-alat berkenan kerana amat sukar mendapatkan serta membuatnya.
"Pemilik bengkel yang ditangkap sekitar Selangor dan Perak dipercayai membenarkan penggunaan premis masing-masing untuk tujuan tampering enjin lori.
"Modus operandi suspek utama dari Perak adalah menerima tempahan daripada pihak bengkel sebelum mengarahkan 'doktor' iaitu pakar ketuk untuk ke lokasi bagi melakukan tampering," ujarnya.
Katanya lagi, dalam satu masa, 'doktor' ini akan mengetuk tiga hingga empat enjin lori disyaki hasil curi dan setelah mendapat upah, suspek akan mengeluarkan resit kepada pihak bengkel.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 413 Kanun Keseksaan," jelasnya.