MAKKAH - Pesanan buat anak muda yang banyak berhabis duit untuk motosikal mereka, ubahlah tabiat itu dan mulalah menyimpan wang di Tabung Haji (TH).
Legenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid,52, berkata, dengan simpanan bermula RM1,300, anak muda sudah boleh mendaftar untuk menunaikan haji.
"Daripada beli rim motor RM2,000 hingga RM3,000 lebih baik simpan di TH. Daftar haji pun RM1,300 sama macam harga helmet...daftar dulu simpan sikit-sikit, Insya-ALLAH cukup nanti dapat panggilan haji,"katanya kepada media Malaysia dalam sidang media di sini.
Wazi yang hadir sebagai jemaah haji pada tahun ini berkata, beliau cemburu apabila melihat jemaah haji muda dari negara lain yang sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
"Saya tertanya-tanya kenapa anak-anak muda ini boleh tinggalkan keseronokan dan utamakan dulu untuk datang ke sini tunai haji,"katanya.
Oleh itu beliau mencadangkan supaya TH memperbanyakkan program yang dapat mendekatkan diri anak muda dengan institusi itu.
"Orang muda nampak imej TH ini macam untuk orang tua, jadi mungkin boleh meremajakannya melalui pelbagai program yang menarik minat orang muda,"katanya.
Beliau yang kini aktif dalam kempen keselamatan jalan raya berkata, anak muda ketika ini memerlukan bimbingan dan panduan supaya mereka dapat menjadi individu yang mempunyai hala tuju jelas.
"Anak muda dalam proses untuk matang mereka akan tercari-cari tempat yang betul, jadi kita kena bagi mereka ruang dan bawa mereka ke laluan yang tepat.
"Saya dulu setahun saja bergelumang dengan geng motor yang tiada arah kemudian Alhamdulilah pada umur 19 tahun dah boleh masuk cub prix dan menjadi pelumba profesional," katanya.
Mengulas mengenai kehadirannya ke Tanah Suci ini, Wazi berkata beliau menjadi pengiring kepada ayah mertuanya dan bertanggungjawab menguruskan kebajikan warga emas berusia 80 tahun itu.
"Walaupun agak sibuk dengan kalendar perlumbaan Wazimotor, saya tetap datang ke sini kerana undangan untuk menjadi tetamu ALLAH tidak wajar ditolak.
"Hadir bantu ayah mertua untuk beribadah dan pada masa sama dapat tunai haji adalah nikmat berganda bagi saya,"katanya.
Sementara itu, seorang pemuda berusia 18 tahun yang tiba di Tanah Suci untuk menunaikan haji tidak berasa bimbang datang secara solo tanpa diiringi ibu bapa.
Muhammad Haqim Mohd Farid, anak tunggal dari Seremban, Negeri Sembilan tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di sini kerana mudah mesra dengan petugas haji dan jemaah lain.
"Saya suka tolong jemaah lain, saya pernah bawa jemaah yang tersasar naik teksi pulang ke penginapan mereka," katanya yang turut menjadi Sahabat Maktab Hujjaj.
Katanya, hadir pada usia muda ke Makkah dan Madinah lebih menyeronokkan kerana urusan ibadah lebih mudah serta dapat membantu jemaah lain yang memerlukan.
Nasihatnya kepada rakan sebaya yang lain, pasang niat untuk tunai haji dan Insya-ALLAH akan dipermudahkan laluan ke Tanah Suci.