KUALA LUMPUR - Impian bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunaikan umrah lebur apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonannya untuk mendapatkan pasport antarabangsa miliknya.
Keputusan itu dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendengar hujahan permohonan dan pihak pendakwaan.
Iklan
Iklan
Dalam penghakimannya, Collin memberi alasan permohonan Zahid ditolak memandangkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan kesalahan serius.
"Walaupun ibadah itu dituntut bagi umat Islam semasa bulan puasa tetapi ia bukanlah perkara wajib untuk ditunaikan. Lagipun, tiada keperluan mendesak untuk pemohon mengerjakan umrah," katanya.
Terdahulu, peguam Hisham Teh Poh Teik berhujah, anak guamnya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 9 Mei sehingga 3 Jun dan akan menyerahkan kembali pasport tersebut keesokan harinya.
Peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang turut mewakili Ahmad Zahid berkata, adalah menjadi kebiasaan bagi anak guamnya mengerjakan umrah pada bulan Ramadan sejak 30 tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Khairi membantah permohonan tersebut dengan alasan tertuduh berisiko untuk melarikan diri. Pada prosiding itu, mahkamah turut menetapkan 18 hingga 22 November, 2 hingga 6 Disember dan 9 hingga 13 Disember sebagai tarikh perbicaraan melibatkan 47 pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid.