SHAH ALAM - Rata-rata pengguna media sosial berpandangan pakaian jururawat wanita Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah 'biasa jer' dan tidak sepatutnya timbul perdebatan mengenainya.
Berdasarkan undian di platform Twitter Sinar Harian dalam tempoh 24 jam bermula pada Sabtu mendapati, 53 peratus daripada 904 yang mengundi bersetuju dengan pandangan tersebut.
Sementara itu, 31 peratus pula mengundi tidak bersetuju bahawa pakaian yang dikenakan jururawat kerajaan itu ketat dan tidak patuh syariah, manakala 16 peratus lagi berpandangan sebaliknya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional memberitahu Dewan Rakyat bahawa etika berpakaian jururawat wanita di kebanyakan fasiliti kesihatan awam di negara ini disifatkan tidak patuh syariah.
Sehubungan itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) menggesa kerajaan melihat semula etika berkenaan supaya golongan itu diberi pilihan untuk memilih pakaian yang lebih sesuai.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil dengan pandangan masing-masing dengan kebanyakannya tidak bersetuju dengan pendapat Ahli Parlimen Pas tersebut.
Antara yang tampil mempertahankan pemakaian jururawat itu adalah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mat, etika pemakaian jururawat merupakan isu terpencil yang tidak sewajarnya diperbesarkan.
Turut membidas kenyataan tersebut adalah Pengamal undang-undang, Nadhirah Halim.
Tegas Nadhirah, sikap terlalu prejudis dan skeptikal terhadap pakaian pekerja kesihatan perlu dihentikan kerana ia direka mengikut spesifikasi khas ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
ARTIKEL BERKAITAN:
Hentikan prejudis, pakaian jururawat ikut spesifikasi khas WHO
Isu pakaian jururawat tak wajar diperbesar - Cuepacs
Pakaian jururawat ketat: MP Kuantan diminta tundukkan pandangan
'Pakaian jururawat wanita ketat, tak patuh syariah' - MP Kuantan
Kritik pakaian jururawat, Wan Razali digesa mohon maaf
Isu seragam jururawat: Banyak lagi isu boleh dibawa ke Dewan Rakyat