BACHOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM500 juta bagi mengatasi masalah air bersih di Kelantan.
Beliau berkata, peruntukan itu adalah hasil daripada perbincangan antara kedua-dua pihak itu sebelum ini.
"Asyik nak gocoh (bergaduh) saja. Sedangkan rakyat hendak air bersih. Jadi kita bincang bersama elok-elok seperti mana yang diminta kerajaan Kelantan, peruntukan diberikan bagi selesaikan masalah air.
"Nak minta banyak sangat tidak boleh. Bagi peruntukan ini, mulakan projek dengan kendalian bersama,” katanya pada Program Temu Anwar pada lawatan kerja ke Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, peruntukan perlu diuruskan mengikut saluran yang betul dan ialah sebahagian daripada peruntukan RM1.7 bilion yang diumumkan sebelum ini.
"Peruntukan itu bagi penggantian paip di Bachok dan Projek Loji Air di Tok Bali, Pasir Puteh,” ujar beliau.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk tujuan sama tahun ini.
Peruntukan tersebut dilakukan secara tata kelola dan terus manakala dari segi operasi akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan.