PRN: Tindakan tegas terhadap pihak sebar sentimen 3R

Iklan
Fahmi Fadzil - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak menyebarkan sentimen atau bahan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) pada Pilihan Raya Negeri nanti.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikan tanpa mengira daripada mana-mana kumpulan.

Iklan
Iklan

"Saya beri peringatan dan amaran tegas kepada semua, jangan sesekali membuat sebaran bersifat 3R. Jika kamu buat, maka bersedialah berhadapan dengan pihak berkuasa dan undang-undang Malaysia,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis penutup Kempen Kesedaran Keselamatan Siber, Ekonomi Digital dan Keterhubungan di Perumahan Pantai Permai, di sini hari ini.

Iklan

Fahmi berkata demokrasi negara tidak seharusnya dicemarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab atas alasan ia merupakan hak dan kebebasan bersuara seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Di Malaysia, didapati ada pihak-pihak tertentu yang secara tidak bertanggungjawab sengaja menyebarkan bahan 3R terutama pada PRU15. Ini tidak akan berlaku lagi.

Iklan

"Kita tidak mahu demokrasi disalah guna atas dasar kebebasan bersuara untuk pihak tidak bertanggungjawab ini mengulangi sikap mereka pada PRU15 lepas untuk menyebar bahan yang sangat merosakkan keharmonian dan akidah rakyat," katanya.

Bagi mengekang penularan bahan bersifat 3R, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diarah untuk mempertingkat usaha pemantauan semasa PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan serta Pulau Pinang yang akan berlangsung tidak lama lagi. - Bernama