TAWAU - Kerjasama rapat antara kerajaan Persekutuan dan Sabah terbukti berkesan dalam mendepani isu tuntutan kumpulan Sulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, kerjasama baik antara Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah dan Pejabat Peguam Negara di peringkat Persekutuan telah membolehkan keputusan mahkamah di beberapa negara Eropah yang dijadikan ‘forum shopping’ oleh kumpulan Sulu itu berpihak kepada Malaysia.
"Hasilnya beberapa mahkamah tertinggi seperti di Perancis baru-baru ini memutuskan memihak kepada kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program taklimat kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini hari ini.
Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung GRS dalam pada itu berkata, sejak awal lagi pendirian GRS konsisten bahawa tuntutan ke atas Sabah dan Malaysia serta cubaan mempertikai kedaulatannya oleh mana-mana pihak adalah tidak berasas.
Kumpulan lapan individu warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu itu dilaporkan mengambil tindakan undang-undang melalui proses timbang tara di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat perdagangan British pada 1878.
Sementara itu, Armizan menggesa kerajaan Sabah menurun taraf surat kerajaan negeri kepada Kementerian Kewangan pada 2019 semasa Sabah diterajui Parti Warisan daripada sulit kepada pengelasan terbuka, bagi menjawab persoalan kadar pemberian khas kepada Sabah.
"Surat tersebut perlu diturun taraf untuk membolehkan ia dikongsikan kepada umum supaya rakyat Sabah boleh melihat fakta sebenar, kadar itu (pemberian khas) jauh lebih rendah berbanding penyelesaian interim di bawah kerajaan pimpinan GRS iaitu bermula dengan kadar RM125 juta setahun pada 2022," katanya.
Beliau berkata, penyelesaian interim yang dilakukan pihak GRS pada tahun lepas itu memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah, antaranya program pemberian rumah bagi golongan kurang berkemampuan melalui program Rumah Mesra SMJ. - Bernama