KUALA TERENGGANU - [KEMAS KINI] Tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Pekuburan Islam Kampung Sekati, Manir, di sini Ahad malam.
Jenazah Allahyarham Zahidah Hanisah Mohamad bersama suaminya, Mohd Riduan Mohd Yaacob masing-masing berusia 35 tahun serta seorang anak mereka, Raudhatul Khayra, 3, dikebumikan kira-kira jam 7.30 malam.
Urusan pengebumian ketiga-tiga mangsa kemalangan itu dihadiri kira-kira 300 keluarga terdekat termasuk penduduk setempat.
Terdahulu jenazah dibawa pulang ke kediaman keluarga mereka di Kampung Raja, Teluk Pasu, di sini untuk disolatkan sejurus tiba dari Unit Forensik Hospital Kemaman.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang pada Sabtu, Zahidah yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Paka bersama Mohd Riduan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan beberapa anggota badan.
Sementara itu, Raudhatul Khayra disahkan meninggal dunia oleh bapa saudaranya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang jam 9.30 pagi pada Ahad.
Seorang lagi anak mangsa, Muhamad Uwais Wafiuddin, 8, yang mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan kini sedang menerima rawatan di hospital sama.
Difahamkan, ketika kejadian, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke rumah mereka di Kampung Raja, Teluk Pasu, Manir.
Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Mohd Riduan, Zawiyah Abdul Kadir, 63, berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu hujung bulan lalu ketika anaknya itu pulang ke rumah mereka di Besut.
Katanya, dia tidak menyangka itu kali terakhir mereka bersua sebelum menerima khabar duka anak bersama menantu dan cucunya terlibat nahas jalan raya.
"Masa jumpa tempoh hari arwah tak tunjukkan sebarang perubahan yang ketara tetapi saya perasan dia selalu beritahu dia 'nok gi terlajok' (nak pergi sungguh).
"Lepas tu dia selalu memandang ke arah laut. Saya tak perasan pula itu antara perubahan yang ditunjukkan arwah.
"Walaupun masih terkejut, saya reda dan pasrah dengan takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT," ujarnya.