Saya lihat penonton 'gila', saya pun 'gila' - Azizulhasni

Iklan
Azizulhasni bergambar isteri dan anak-anaknya selepas meraih pingat emas acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai petang tadi. - Foto Bernama

JAGOAN negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan betapa dia berhak dilabel legenda terbilang apabila menoktahkan pingat emas ke-12 pada Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023.

Selepas menjuarai acara pecut individu elit di Velodrom Nasional, Nilai Jumaat lalu, Azizulhasni melepaskan kilauan emas ke-12 di pentas ACC apabila meraih emas acara kegemarannya, keirin petang tadi.

Iklan
Iklan

Kejayaan yang diraih pelumba yang mendapat julukan The Pocketrocket Man itu boleh dianggap luar biasa dan sukar ditandingi oleh mana-mana pelumba di rantau Asia ini.

Azizulhasni mengetepikan pelumba Jepun, Shinji Nakano yang meraih perak, manakala rakan seperjuangannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih gangsa dalam aksi final penuh dramatik itu.

Iklan

"Perlumbaan hari ini agak sukar kerana ada tujuh pelumba berbanding enam seperti biasa. Malah, saya memulakan perlumbaan di posisi ketujuh.

"Jadi memang agak sukar dan saya berdoa sahaja. Bila berlumba, saya punya strategi pergi depan terus kerana Jepun ada dua pelumba kuat iaitu Shinji dan Ota Kaiya.

Iklan

"Saya takut untuk tunggu kerana mereka akan terus pecut dan saya tak boleh ambil risiko. Jadi saya ambil alih perlumbaan dan guna tenaga lebih awal cuma saya kekalkan kelajuan.

"Selepas itu pelumba lain mula lakukan 'serangan' tetapi saya tetap sabar dan tunggu masa yang sesuai dan di selekoh terakhir, saya berjaya di depan dan menang," kata Azizulhasni kepada pemberita.

Kejayaan meraih dua pingat emas kali ini menyaksikan Azizulhasni berjaya mengulangi pencapaian sama dengan menjuarai acara keirin dan pecut individu pada edisi 2008 di Nara, Jepun.

"Saya menikmati detik ini. Saya lihat penonton 'gila', saya pun 'gila'. Syukur.... ACC terakhir saya, prestasi terbaik, dua pingat emas.

"Saya ingat... sebelum ini pernah juga raih dua emas. ACC bukan mudah sekarang ini kerana (ia boleh dikatakan) sudah tahap dunia," jelasnya yang kini dalam misi mengumpul mata kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024.