'Shah Firdaus The Terminator'

Iklan
Shah Firdaus (belakang) mengalami kemalangan dengan dua pelumba China ketika saingan separuh akhir acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai hari ini. - Foto Bernama

PELUMBA negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom layak mendapat pujian melangit atas semangat juang tinggi yang ditampilkannya dalam acara keirin Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023) hari ini.

Sebelum berentap di pentas final, Shah Firdaus berdepan insiden kemalangan dalam peringkat separuh akhir sehingga menyaksikan dia mengalami kecederaan pada beberapa anggota badannya.

Iklan
Iklan

Malah, pelumba kelahiran Muar, Johor itu terpaksa mengharungi aksi final dengan basikal prototaip yang tidak biasa digunakannya selepas 'jentera' asalnya mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan tersebut.

"Pada awal saingan separuh akhir, tak ada masalah. Apabila (pelumba) Jepun membuat langkah, kayuhan saya mulanya memang baik tetapi tiba-tiba saya (seperti) tak tahu apa berlaku.

Iklan

"Rupanya pelumba China itu tersilang tayar dengan pelumba Jepun dan kami berlima 'terbang'. (Selepas terjatuh) saya (terfikir) nak habiskan perlumbaan sahaja.

"Saya ambil basikal semula, saya tak tahu apa berlaku pada basikal, hanya kayuh saja. Tapi saya tak boleh tekan kaki saya, basikal saya ranap teruk tetapi nasib boleh gerak lagi (sehingga garisan penamat)," katanya.

Reaksi penonton ketika melihat Shah Firdaus mengalami kemalangan ketika saingan separuh akhir acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai hari ini. - Foto Bernama

Iklan

Dalam perlumbaan final itu, Shah Firdaus masih boleh berbangga apabila menyambar gangsa, manakala jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih emas dan pelumba Jepun, Shinji Nakano (perak).

Sementara itu, Azizulhasni memuji persembahan Shah Firdaus yang digelarnya 'Shah Terminator' atas insiden kemalangan tersebut.

"Shah Terminator. Insiden (kemalangan) itu berlaku depan saya, dia jatuh dan terpelanting... dia bangun, cuba duduk atas karbon itu yang mana tempat duduk yang patah.

"Tengok dekat badan dia ada kayu dan karbon dalam seluar. Sukar dipercayai, semangat dia memang di tahap berlainan dan cuba untuk kayuh lagi.

"Kalau dia berputus asa, tak mungkin ada di final. Sama seperti semangat saya tunjukkan pada 2011, semangat juang sebegitu patut ada dalam diri atlet. Dia memang The Terminator," ujar Azizulhasni.

Ketika bersaing pada Siri Piala Dunia Klasik 2011 di Manchester, betis Azizulhasni tertusuk serpihan kayu trek sehingga mendapat liputan meluas di seluruh dunia.