PELUMBA Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar mengekalkan momentum positif apabila mengungguli peringkat kedua saingan Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 pada Ahad.
Saingan Peringkat Kedua Kriterium dengan jarak sejauh 60 kilometer (km) mengelilingi Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Durian Tunggal Melaka itu, Afi Danial melakukan catatan 2 jam 32 minit 44 saat (s).
Kejayaan hari kedua itu membolehkan Afi Danial mengekalkan Jersi Kuning bagi juara keseluruhan peringkat kedua, Jersi Putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan Jersi Hijau (Raja Pecut) seterusnya memimpin pendahulu keseluruhan perlumbaan.
Afi Danial yang berjersi 56 mengungguli perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 31 minit 44 saat diekori rapat dua pelumba Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang (KKTML), Muhammad Hariz Md Hazri (1 jam 31 minit 47 saat) kedua dan Muhammad Hariz Md Hazri (1 jam 31 minit 56 saat).
Dalam pada itu, rakan sepasukan Afi Danial, Ahmad Irfan Abdul Hamid memantapkan lagi penguasaan UPNM apabila merangkul satu lagi jersi polka dot (Raja Bukit).
"Sejujurnya peringkat kedua ini sungguh mencabar, namun saya kata kepada rakan-rakan untuk kekal tenang sepanjang perlumbaan bagi mengelak risiko kemalangan.
"Biarpun begitu saya akui tidak boleh terlalu selesa kerana saingan esok pasti lebih ramai akan menukar strategi masing-masing.
"Apapun esok, kami akan berusaha mempertahankan status pendahulu dan Raja Bukit pada peringkat pendakian seterusnya peringkat terakhir di Putrajaya,” ujar Afi Danial.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli mengakui saingan peringkat kedua sengit.
"Persaingan Jersi Kuning sekarang ini hanya dibezakan tiga saat. Saya percaya peringkat ketiga perlumbaan dari Politeknik Port Dickson ke UPM Serdang lebih sengit dan pertukaran jersi-jersi utama mungkin akan berlaku.”
Sebagai rekod, Peringkat Ketiga sejauh 928km melibatkan perlumbaan bermula di Politeknik Port Dickson hingga Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Peringkat LTdIPT 2023
Peringkat Pertama (96.4km)
Kolej Komuniti Segamat -Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Melaka
Peringkat Kedua (60km)
Kriterium
Peringkat Ketiga (92.8km)
Politeknik Port Dickson-Universiti Putra Malaysia (UPM)
Peringkat Keempat (83.5 km)
Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Bangi -Bangunan KPT, Putrajaya.