KOTA BHARU - Kerajaan bersetuju menangguhkan bayaran balik pinjaman kepada pembeli rumah pangsapuri kakitangan awam di Lembah Sireh yang terbengkalai di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan dibuat bertujuan meringankan beban pembeli yang terpaksa menanggung pembayaran pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Pinjaman Sektor Awam (LPPSA).
Beliau memberitahu, pelepasan bayaran pinjaman berkenaan diberikan kepada pembeli sehingga mereka boleh menduduki rumah itu.
"Saya membuat keputusan untuk memberi pelepasan moratorium untuk perumahan penjawat awam di Lembah Sireh yang terbengkalai.
"Ini bermakna mereka tidak perlu bayar sekarang, bayar nanti apabila dapat masuk ke rumah itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi Syarikat Perumahan Negeri Berhad (SPNB) Datuk Husam Musa.
Sinar Harian pada 1 Jun lalu melaporkan lebih 120 pembeli rumah pangsapuri untuk kakitangan awam di Lembah Sireh menuntut penjelasan pemaju berikutan projek itu gagal disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan.
Kediaman yang sepatutnya siap pada tiga tahun lalu kini terbengkalai hampir enam tahun.
Pembeli turut mendakwa tiada jaminan status terbaharu berhubung kediaman berkenaan
Sementara itu, Husam memaklumkan, SPNB akan membina 3,545 unit RMR tahun ini, dengan 2,558 unit RMR sedang dalam pembinaan dan 987 unit telah siap dibina.