KUANTAN - Bimbang dihukum penjara seumur hidup selepas identitinya dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram berjumlah RM1.2 juta, seorang peniaga akur dengan menyerahkan butiran akaun bank miliknya kepada seorang lelaki bergelar ‘datuk’ kononnya individu itu dapat membantunya menyelesaikan kes tersebut.
Padahnya, mangsa berusia 51 tahun dari bandar ini terpaksa berputih mata apabila baki wang dalam akuannya tinggal RM33 manakala lebih RM56,000 lagi lesap ‘disedut’ sindiket penipuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa terjerat dengan helah scammer itu apabila menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi semalam.
"Seperti biasa panggilan itu disambung kepada seorang anggota ‘polis’ berpangkat sarjan untuk semakan dan anggota itu menggertak mangsa kononnya kes itu berat hingga boleh dihukum penjara seumur hidup.
‘Bagaimanapun suspek memberitahu ada individu yang boleh membantu mangsa daripada tindakan tersebut,” katanya.
Mohd Wazir berkata, kira-kira jam 4.24 petang hari sama, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya berpangkat datuk dan dia memberitahu bersedia untuk membantu sebelum meminta butiran akaun bank milik mangsa.
"Lelaki itu juga meminta mangsa membuka akaun bank baharu dan memindahkan wang dari akaun lama ke akan tersebut dan berjanji kes itu akan diselesaikan dalam tempoh 24 jam.
"Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun banknya dan mendapati bakinya hanya tinggal RM33,” katanya.
Beliau berkata, mangsa syak dia ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihaknya membuka kertas siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.