JEMPOL - Seorang pemuda Orang Asli maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di jalan menghala Felda Lui Selatan di sini pada Ahad.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 5.10 petang itu menyebabkan Den Jahoring, 25, yang bekerja di kilang perabot maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, kejadian membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa dengan sebuah kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 38 tahun.
"Siasatan awal mendapati mangsa dari arah rumahnya,Kampung Sungai Sampo menghala ke Seremban, manakala kereta berkenaan menghala ke Felda Lui Selatan.
"Sebaik sampai di tempat kejadian, dipercayai mangsa yang memotong kenderaan di hadapannya, tidak sempat kereta yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta luka di bahagian kepala.
"Pemandu sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Jempol dan proses bedah siasat terhadap mayat mangsa akan dilakukan pada Isnin.
"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis daerah Jempol untuk membantu siasatan," katanya.