Gendang dipalu, tunggu masa keluar 'peluru'

Iklan
Enam negeri akan melaksanakan PRN tidak lama lagi. - Gambar hiasan

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Rabu membuat pengumuman akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ini pada 22 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau sudah memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengikut Fasal 2 Perkara 46 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan yang memperuntukkan bahawa Sultan boleh membubarkan DUN.

Iklan
Iklan

Kelantan antara enam negeri yang melaksanakan PRN selain Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Bagaimanapun Terengganu, Kedah dan Selangor belum lagi membuat pengumuman tarikh pembubaran DUN.

Iklan

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang memaklumkan akan membubarkan DUN pada 28 Jun manakala Negeri Sembilan pula pada 30 Jun. Berdasarkan situasi terkini itu, rakyat kini sudah berasa hangatnya PRN.

Gendang mula dipalu bagi 'menyedarkan golongan yang masih tidur' kerana mereka juga antara pengundi penting untuk mencapai kemenangan parti yang kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Iklan

Golongan ini biasanya tidak peduli betapa pentingnya pertukaran parti, siapa yang bakal mengambil alih negara atau siapa yang perlu disokong.

Masih ada segelintir yang mungkin sudah muak dengan pelbagai isu yang diperkatakan tetapi bagi mereka semua, perkara itu tidak pernah berubah.

Mungkin mereka fikir, makanan tetap mahal, petrol tidak turun harga malah ada sahaja perang mulut antara pemimpin dan akhirnya mereka akur sahaja sehingga tidak perlu mengundi.

Bagaimanapun mereka ini boleh menjadi lalang dan boleh juga bertenggek di atas pagar menanti isyarat dan lambaian individu yang diyakini dapat memberi peluang hidup lebih baik.

Jadi kita tunggu sahaja pada hari penentuan dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi dengan segala persediaan dan strategi dilakukan parti bertanding.

Beberapa pertemuan parti yang diadakan, pemimpin mereka semuanya positif dapat mencapai kemenangan tetapi sejauh mana usaha mereka.

Rakyat cuma berharap, parti apa pun yang memerintah, tidak perlu bercakap kosong kerana sebelum ini moto 'rakyat bantu rakyat' memenuhi ruang media sosial.

Sementara itu, bercerita mengenai negeri yang sudah mengisytiharkan pembubaran DUN, semua pemimpin mengakui sudah mengatur strategi mereka.

Di Kelantan misalnya, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, strategi Pas akan dilakukan secara surprise dan ada ramai lagi individu popular daripada parti lain di setiap negeri termasuk Kedah dan Selangor akan isytihar diri bersama Pas, cuma sedang menanti masa yang sesuai.

Kata Mohd Amar lagi, ada banyak lagi kejutan yang akan dilakukan selepas pembubaran DUN selain bersedia dengan 'peluru' bagi menyerang balas asakan parti lawan.

Bahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan itu percaya rakyat Kelantan akan terus memberi mandat kepada Pas kerana sudah 33 tahun parti itu memerintah.

Kelantan juga antara negeri yang menjadi rebutan antara Pas dengan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN tidak lama lagi.

Situasi di Kedah pula, dikatakan lebih 40,000 petugas pilihan raya parti komponen Perikatan Nasional (PN) bakal memastikan kemenangan mereka dapat dipertahankan.

Bagaimanapun, Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas negeri Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab ketika Himpunan Jentera Pilihan Raya Negeri pada Rabu mengakui tidak memandang remeh pihak lawan.

Pada masa sama, mereka positif bahawa berlaku gelombang kebangkitan rakyat khususnya golongan muda.

Bagaimanapun di Selangor, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin memaklumkan PH dan BN masih belum mencapai kata sepakat menyelesaikan kerusi DUN.

Menurut beliau, belum ada perbincangan rasmi membabitkan tiga daripada 56 kerusi DUN tetapi perbincangan terakhir dijangka berlangsung minggu ini.

Apa pun keputusannya, segelintir pengundi sudah tidak sabar untuk membuat pilihan dengan harapan mereka menikmati ketenangan selepas PRN dan ada yang tegas mahu mengekalkan tampuk pemerintahan sedia ada.

*Aswany Omar ialah wartawan Sinar Harian Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN:

Kelantan bubar DUN 22 Jun ini

Pulau Pinang sah bubar DUN 10 hari terakhir Jun

PRN: Kedah cadang bubar DUN 28 Jun ini

PRN: Terengganu belum putuskan tarikh bubar DUN

Bubar DUN: Selangor belum dapat perkenan Sultan Selangor

PRN: Negeri Sembilan bubar DUN hujung Jun ini