REMBAU - Seekor lagi harimau kumbang jantan masuk ke dalam perangkap selepas dua bulan dipasang di Kampung Solok Baing, Kendong di sini pada Jumaat lepas.
Penternak, Badrul Sham Ithnin, 39, berkata, kehadiran haiwan itu adalah yang kedua dengan kejadian pertama pada dua tahun lalu.
"Kejadian terbaharu ini pula, kambing rakan penternak saya dibaham harimau dan akhirnya masuk perangkap yang dipasang oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Badrul Sham berkata sebelum ini mereka mengetahui terdapat harimau kumbang berhampiran perkampungan tersebut namun tidak berani membaham binatang ternakan.
"Cuma dua tahun kebelakangan ini sahaja haiwan ini makin berani membaham binatang ternakan kami, yang mana empat ekor anak lembu saya juga menjadi mangsa harimau kumbang ini," katanya.
Menurutnya, walaupun dua ekor harimau kumbang jantan sudah berjaya ditangkap, mereka tetap bimbang kerana dipercayai masih ada harimau kumbang betina yang berlegar-legar di kawasan berhampiran.
"Kami sudah maklumkan kepada pihak Perhilitan mengenai hal ini dan berharap akan ada pemantauan serta tindakan lanjut," katanya.
Media pada April 2021 melaporkan kurang dari tempoh sebulan, tiga ekor harimau kumbang sekali lagi masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan Negeri Sembilan termasuk di Kampung Solok Baing, Kendong, 24 Mac 2021.