KEMPEN Jom Auto Labur (Auto Labur) kali kelima anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah mencatatkan sebanyak 6,348 transaksi dengan potongan berjumlah RM2.6 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzaffar Othman berkata, kempen kali kelima itu menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM255,000 kepada 719 orang pemenang.
Menurutnya, ASNB telah berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.
"Ini dapat dilihat menerusi penyertaan positif dalam Auto Labur yang mencatatkan sejumlah RM292 juta sejak dilancarkan empat tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pada 12 Jun lepas, ASNB telah meraikan para pemenang utama Kempen Jom Auto Labur tahun lalu yang bermula pada Oktober hingga Disember 2022.
Beliau berkata, pemenang pertama Kempen Jom Labur kali kelima, Farisha Fran Anak Patrick, yang berasal dari Sibu, Sarawak berjaya membawa pulang sebuah Perodua Alza 1.5 AV.
"Seramai tiga peserta berada di tempat kedua dalam kempen itu, Fanny Eva, Azuwiza Darus dan Nor Famiza Amielia Shuhaimi yang masing-masing memenangi sebuah Yamaha Y15ZR.
"Diikuti seramai lima peserta memenangi tempat ketiga kempen tersebut iaitu Nur Kamilah Mazlan, Nurulhuda Mahat, Jumiah Katiman, Mohamad Razaleigh Zulkifli dan Nur Insyirah Binti Zulkhaire. Kesemua mereka berjaya membawa pulang sebuah Apple iPhone 14 128GB.
"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pemenang-pemenang yang telah menyertai Kempen Jom Auto Labur,” kata Muzaffar.
ASNB juga turut mengumumkan seramai 10 pemenang hadiah sagu hati berupa Apple iPad 64GB (WiFi Cellular) setiap seorang dan sebanyak 450 hadiah bulanan yang terdiri daripada unit-unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM100 setiap seorang.
Sebanyak 150 hadiah bonus iaitu unit-unit ASB bernilai RM300 setiap seorang dan 100 hadiah khas sempena Penganjuran Minggu 2 Saham Amanah Malaysia 2022 yang lalu.
"Kerajaan telah mengumumkan peningkatan had pelaburan ASB dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dari RM200,000 dinaikkan ke RM300,000. Saya ingin menyeru agar para pemegang unit menggunakan peluang ini demi manfaat diri sendiri dan keluarga,” kata Muzaffar.
Sementara itu, pemenang hadiah pertama. Farisha berkata, pemotongan minima Auto Labur sebanyak RM50 adalah mengikut kemampuan beliau dan telah mendorong untuk berdaftar.
Kemudahan Auto Labur di platform myASNB memanfaatkan perkhidmatan Direct Debit untuk memudahkan pelabur membuat pelaburan berkala secara automatik untuk akaun unit amanah mereka sendiri, akaun minor (Akaun Bijak/Remaja) dan pihak ketiga yang layak.
Diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2019, Auto Labur membantu para pelabur melabur secara konsisten mengikut kemampuan kewangan masing-masing melalui potongan terus daripada akaun bank pelabur tanpa sebarang caj.