MAKKAH - Kerajaan Arab Saudi mengumumkan Hari Wukuf iaitu kemuncak ibadah haji umat Islam, ditetapkan pada Selasa, 27 Jun dan Hari Raya Aidiladha di sini akan disambut keesokannya pada Rabu, 28 Jun.
Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di Arafah bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.
Berbaki lapan hari sahaja lagi sebelum Hari Wukuf, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihatkan semua jemaah haji agar bersedia dari segi mental dan fizikal serta menjaga kesihatan masing-masing.
"Simpan tenaga mulai sekarang kerana operasi Masyair memerlukan tenaga yang banyak, ketahanan diri yang tinggi kerana akan melalui keadaan yang serba kekurangan.
"Di sana nanti (Masyair) jemaah akan berada dalam khemah yang terdedah cuaca panas, mungkin tidak cukup rehat dan tidur maka akan terkesan dari segi kesihatan," katanya pada sidang media Taklimat Operasi Haji di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Janadriyah, di sini pada Ahad.
Ujarnya, pada hari berkenaan juga akan melibatkan perjalanan kerohanian, maka jemaah perlu memperbanyakkan doa dan munajat agar pergerakan di Arafah, Mudzalifah dan Mina dipermudahkan.
Menyentuh mengenai persediaan semasa operasi Masyair, Syed Saleh berkata, kesediaan perkhidmatan untuk jemaah ketika ini adalah pada tahap 80 peratus dan akan lengkap sepenuhnya menjelang Hari Wukuf.
"Dalam taklimat diterangkan mengenai pergerakan jemaah dan setiap jemaah akan diberi nombor khemah untuk mereka menginap," katanya.
Beliau berkata, pada tahun ini juga TH melakukan beberapa penambahbaikan semasa operasi Masyair bagi memberikan khidmat yang lebih baik kepada jemaah.
"Pertamanya penggunaan wheeled litter carrier bagi membolehkan penghantaran pesakit lebih cekap dan efisien berbanding penggunaan stretcher biasa.
"Keduanya khemah baharu di Arafah yang berdinding PVC dan lapisan siling yang dapat mengurangkan haba panas di dalam khemah," katanya.
Tambah Syed Saleh, bekalan elektrik di Arafah juga adalah 100 peratus terus daripada pencawang yang dapat menjamin tiada gangguan elektrik.
Turut disediakan bangunan dapur baharu yang lebih teratur dan selamat serta makanan sedia dimakan yang dibekalkan oleh syarikat dari Malaysia.
Ketika ini katanya, bilangan jemaah haji yang tiba di Makkah seramai 29,212 orang melibatkan sebanyak 95 penerbangan.
Jumlah yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan ialah seramai 64 orang dengan 56 ditempatkan di Pusat Rawatan TH dan bakinya Hospital Arab Saudi.
Pada tahun ini kuota jemaah haji Malaysia kembali kepada asal dengan seramai 31,600 orang dapat menunaikan haji di Tanah Suci.
Sementara itu, pada pagi Ahad, Syed Saleh telah melancarkan program kebersihan maktab yang merupakan kesinambungan kepada program kebersihan di Masyair.
"Program kebersihan Masyair diperkenalkan pada tahun 2017 dan program kebersihan maktab dilancarkan pada 2018.
"Kita dapati rata-rata jemaah haji beri kerjasama yang amat baik semasa program ini dijalankan," katanya.
Kata beliau, bilik-bilik dihiasi dengan ceria dan penjagaan kebersihan yang teratur membuktikan penekanan semasa kursus haji bukan sahaja berkaitan hukum-hakam saja.
"Kita turut tekankan dari segi peradaban, persekitaran, kesihatan seiring slogan digunakan iaitu kebersihan mencerminkan kemabruran haji," katanya.
Kata beliau, hadiah turut disediakan bagi kategori lelaki dan wanita bagi meningkatkan semangat jemaah untuk menyertai kempen berkenaan.