SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera bertindak dengan menumpukan perkara yang lebih utama, bersifat dasar dan menyeluruh dalam meningkatkan kualiti modal insan negara yang disifatkan berada pada tahap krisis.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inkslusif UKM (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, teguran daripada pakar tentang sistem pendidikan negara perlu dijadikan peringatan dalam melakukan perubahan terhadap dasar sedia ada.
Menurutnya, hampir semua statistik dan laporan dalam dan luar negara menyatakan kelemahan Malaysia dalam konteks pendidikan namun masih belum kedengaran tindakan yang bersungguh.
"Saya ada laporan-laporan ini. Ia adalah laporan awam, bukannya sulit dan dilaporkan dalam media. Jangan dibiarkan berlarutan atau lebih padah lagi sekiranya dinafikan.
"Kita mesti segera mendalami dan meneliti apakah puncanya dan mengambil tindakan segera. Semua pihak yang terlibat, kita garapkan tenaga bersama, mengeluarkan Malaysia dari krisis senyap ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Dr Anuar Ahmad, sebelum ini menyatakan, semua pihak tidak boleh menafikan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis sistem pendidikan negara.
Jelasnya, itu adalah hakikat yang perlu ditelan apabila sistem pendidikan negara gagal membina struktur modal insan yang berkeupayaan tinggi.
Tambah Noor Azlan, pandangan Anuar adalah berlandaskan ilmu dan kesarjanaan untuk masa depan negara.
"Hasrat kita melihat negara maju, berdaya saing dan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi amat bergantung kepada kualiti sumber manusia negara.
"Menteri Ekonomi sering menyebut tentang keperluan negara melaksanakan penstrukturan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi. Beliau juga kini giat meningkatkan pendapatan rakyat melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
"Inisiatif INSAN, meletakkan mesin layan diri yang menjual makanan segera yang disediakan oleh isi rumah berpendapatan rendah di lokasi-lokasi awam boleh membantu tetapi tidak menyelesaikan. Boleh diteruskan, tetapi terlalu kecil untuk menangani masalah pendapatan rakyat secara menyeluruh dan mapan,” ujar beliau.