KUCHING - Penyenaraian Malaysia pada Tahap Dua Pemerhatian menerusi Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) 2023 memberi impak positif kepada sektor perdagangan negara dan menangkis persepsi negatif berkaitan isu buruh paksa di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan berkenaan menunjukkan hasil kerjasama dan usaha semua pihak dalam memastikan Malaysia melaksanakan amalan baik bagi menangani isu pemerdagangan orang, penyeludupan migran, buruh paksa dan pelaksanaan penguatkuasaan.
"Di luar negara pun, aktiviti perladangan adalah sebahagian perniagaan keluarga, jadi apabila mereka turun (ke ladang) kadang-kadang anak-anak pun dibawa sekali jadi ia agak biasa...selagi kita tidak menyalahgunakan dan paksa anak-anak kecil (untuk bekerja). Jadi ini adalah perkara yang perlu kita jelaskan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi 2023, di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, Malaysia menjalinkan kerjasama dan sesi libat urus khususnya dengan Amerika Syarikat dalam memastikan dakwaan mengenai isu buruh diselesaikan secara bilateral.
Menurutnya, pada 2021 dan 2022, Malaysia berada di kedudukan Tahap Tiga dengan penilaian laporan tersebut merangkumi aspek pencegahan, pendakwaan dan perlindungan ke atas pekerja di semua negara berhubung hal ehwal perburuhan.
Pada 16 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika mengumumkan laporan TIP itu berkata, kerajaan akan meningkatkan usaha dalam mendakwa dan menyabitkan kes terhadap penjawat awam yang didapati bersubahat dalam aktiviti pemerdagangan orang atau buruh paksa.
Menteri itu memaklumkan perkara itu menjadi keutamaan kerajaan apabila ia merupakan antara 15 syor penambahbaikan yang dikemukakan dalam laporan JNAS. - Bernama