Anwar, Ahmad Zahid akan selesaikan pertindihan kerusi PH, BN

Iklan
Amirudin (lima kanan) pada Majlis Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, pada Isnin.

SHAH ALAM - Pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk Selangor akan diselesaikan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua gabungan parti.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu akan diutarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diputuskan.

Iklan
Iklan

Amirudin yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, selain Selangor terdapat sejumlah kerusi yang bilangannya adalah kecil di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu juga perlu dimuktamadkan di peringkat kepimpinan tertinggi.

"Saya percaya ia akan diangkat di antara Presiden PKR dan Presiden UMNO untuk diputuskan sebab perbincangan antara BN dan PH (peringkat negeri) sudah selesai dan ada beberapa kerusi perlu dimuktamadkan namun jumlahnya sangat kecil," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media Khas Lima Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan tinggal lagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang belum selesai pembahagiannya antara PH dan Barisan Nasional BN menjelang PRN akan datang.

Iklan

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor turut mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan Jumaat ini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan meneruskan kerjasama dengan PH pada PRN pada kali ini, selaras dengan persefahaman yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Menteri Besar bagaimanapun berkata, jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti berkenaan yang mewakili PH pada PRN akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.