KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan untuk terus memberi sokongan konsisten kepada jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dalam misinya memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik Paris tahun depan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama antara KBS dan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) yang dipengerusikan menterinya, Hannah Yeoh di Putrajaya pada Isnin.
Sinar Harian pada 8 Jun lalu melaporkan Azizulhasni tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung masalah yang dihadapinya sejak kembali ke tanah air pada penghujung Januari lalu.
Menerusi catatannya di laman sosial Facebook, Azizulhasni nyata cukup kecewa dan terkilan kerana masih tidak mendapat sistem sokongan latihan yang lebih baik berbanding di Melbourne, Australia.
Mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang buat kali kedua akan turut meneliti semula kriteria pemilihan atlet ke dalam program RTG.
Hannah memberitahu, ia melibatkan kriteria atlet yang tersenarai dalam pemenang pingat Olimpik yang lepas, senarai 10 ranking dunia dan RTG akan dipertimbangkan.
Katanya, jawatankuasa turut memutuskan bahawa pemain perseorangan badminton profesional, Lee Zii Jia kekal sebagai sebahagian daripada RTG sehingga jawatankuasa berpeluang bertemu dengan jurulatih baharunya Wong Tat Meng.
"Jawatankuasa akan turut mempertimbangkan untuk memasukkan pemain badminton Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ke dalam RTG seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Mengekalkan Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing sehingga fasa penilaian seterusnya pada September," katanya.
Hannah turut mengumumkan berita gembira buat skuad hoki negara apabila disenaraikan dalam program RTG.
"Memandangkan skuad hoki lelaki telah tersenarai di dalam ranking ke-10 dunia dan bagi memastikan pasukan itu memenangi pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou dan seterusnya layak ke Olimpik, mesyuarat jawatankuasa bersetuju untuk memasukkan ke dalam program RTG,” katanya.