Pengurangan duti setem saham jadikan bursa tempatan lebih menarik

Iklan
Ahli ekonomi berpendapat langkah kerajaan mengurangkan kadar duti setem bagi saham dijangka dapat menarik lebih banyak pelabur dalam usaha memajukan lagi pasaran.

LANGKAH kerajaan untuk mengurangkan kadar duti setem bagi saham yang didagangkan di Bursa Malaysia Securities sehingga 0.10 peratus daripada nilai kontrak berkuat kuasa Julai depan, dijangka dapat menarik lebih banyak pelabur dalam usaha memajukan lagi pasaran, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, juga bertujuan mengurangkan lagi kos urus niaga sekuriti untuk pelabur.

Iklan
Iklan

"Ini akan menggalakkan pelabur untuk melabur di Bursa Malaysia, tidak kiralah dalam kalangan pihak institusi atau pelabur runcit.

"Apabila terdapat lebih banyak penggiat di Bursa Malaysia, ini akan meningkatkan lagi mudah tunai dalam pasaran saham, sekali gus menggalakkan mekanisme bagi mengenal pasti harga lebih baik untuk saham-saham yang tersenarai,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Ketika mengumumkan perkara itu pada majlis pelancaran Program Graduan Pasaran Modal (CMGP) hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam masa terdekat ini, kadar duti setem bagi saham yang diniagakan di Bursa Malaysia Securities akan dikurangkan kepada 0.10 peratus daripada nilai kontrak 0.15 peratus masa ini, tertakluk kepada had maksimum sebanyak RM1,000 bagi setiap kontrak.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata, Perdana Menteri juga kekal komited untuk melaksanakan pembaharuan struktur sebagai antara kaedah dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi.

Iklan

Malah, ini dapat dilihat daripada pengumuman mengenai pelaksanaan usaha pembaharuan bagi memudahkan serta mempercepat proses penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) dan mengurangkan lagi tempoh untuk disenaraikan di pasaran.

"Secara ringkasnya, ini adalah pembaharuan jangka sederhana hingga jangka panjang yang jika dilaksanakan dengan baik, dapat meningkatkan lagi potensi pertumbuhan Malaysia. Pelaburan sentiasa menjadi komponen utama ekonomi kerana dapat menggalakkan inovasi serta hasil produktiviti lebih baik,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri juga mengumumkan beberapa langkah untuk merangsang pasaran modal dan mewujudkan lebih banyak kekayaan untuk rakyat.

Selain aspek pengurangan kadar duti setem dan memudahkan proses penyenaraian, kerajaan akan turut meneliti dasar bagi menarik dan memudahkan usaha penubuhan pejabat di Malaysia dan menggalakkan usaha penerokaan korporat menerusi lebih banyak dasar cukai dan insentif yang memudahkan.

Perubahan tersebut secara langsung dapat mengurangkan kos urus niaga atau transaksi sekuriti dan menjadikan pasaran saham Malaysia lebih kompetitif, dapat merangsang pasaran dan meningkatkan daya tarikannya.

Anwar berkata, peningkatan mudah tunai pasaran akan menarik lebih banyak dana domestik dan asing ke dalam pasaran saham Malaysia, sekali gus menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) serta memudahkan syarikat tersenarai awam mengumpul dana bagi tujuan pengembangan perniagaan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Sementara itu, Profesor Madya Abu Sofian Yaacob daripada Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia berkata, apa yang penting adalah untuk bagaimana langkah-langkah baik yang dapat merangsang pasaran itu dapat direalisasikan.

"Antara faktor yang menyumbang secara langsung kepada pasaran modal adalah aspek kestabilan kerajaan sedia ada. Pelabur mahu melihat satu kerajaan yang stabil dan terbuka.

"Faktor lain adalah kadar pertukaran asing yang stabil berbanding kumpulan mata wang utama. Ini akan menjadi petunjuk dari segi keuntungan terhadap mata wang negara,” katanya.

Abu Sofian berkata, kerajaan juga perlu menggalakkan dan memudahkan pelaburan dan syarikat tempatan melabur lebih banyak, terutama dalam ekonomi baharu serta inovatif.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan dan Nasihat Kekayaan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, impak segera daripada langkah mengurangkan duti setem itu adalah menggalakkan lebih banyak penyertaan pelabur asing dalam pasaran modal.

"Biarpun ketidaktentuan (pasaran) mungkin lebih ketara sejajar peningkatan urus niaga, situasi sedemikian mungkin juga bersifat sementara. Impak pengurangan kadar setem duti terhadap ketidaktentuan itu juga belum jelas walaupun mungkin positif dalam kes-kes tertentu.

"Ini berikutan realiti bahawa pasaran itu juga terdapat bilangan peniaga yang rasional dan asas yang mana dagangan mereka boleh menstabilkan pasaran menerusi pergerakan harga menghampiri nilai asas sebenar (saham),” katanya. - Bernama