Anggota tentera diseru hayati Rahmatan Lil Alamin

Iklan
Mohamad (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Dr Mujahid (kiri) selepas Program Nadwah Ilmiah (NAIM)-Rahmatan Lil Alamin Peringkat Kementerian Pertahanan 2019 di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Semua Anggota Tentera Malaysia (ATM) perlu memahami dan menghayati Islam yang berlandaskan kepada Rahmatan Lil Alamin dalam perkhidmatan mereka agar menjadi petugas yang berdedikasi dan diberkati.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pendekatan itu amat penting kerana ia secara tidak langsung dapat menghindari barisan kepimpinan ATM daripada terjerumus dalam amalan tidak sihat selain tidak memberi komitmen penuh terhadap tugas mereka.

Iklan
Iklan

"Penghayatan ini diharapkan dapat meningkatkan imej Kementerian Pertahanan dan ATM dalam menyuburkan nilai integriti yang konsisten melalui kekuatan medium penghayatan Maqasid Syariah.

"Malah program sebegini juga bertindak sebagai satu langkah tambahan kepada Polisi Antirasuah yang telah disediakan oleh Kementerian Pertahanan dalam usaha serius kementerian meningkatkan integriti, seterusnya memerangi jenayah rasuah dalam kalangan warga ATM,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi town hall bagi pemahaman dan penghayatan Maqasid Syariah melalui program Nadwah IImiah (NAIM)-Rahmatan Lil Alamin peringkat kementerian di Wisma Perwira ATM, di sini hari ini.

Kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada pegawai tentera dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM termasuk pegawai awam kementerian menghadiri sesi berkenaan yang membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, selaku panel.

Iklan

Menurut Mohamad, program berunsurkan kerohanian ini perlu dilaksanakan supaya setiap warga ATM dan awam dapat memelihara ketahanan diri demi memastikan semangat juang kerohanian warga kementerian sentiasa cemerlang dalam melaksanakan tugasan untuk negara.

Sementara itu, Mujahid menyangkal dakwaan sesetengah pihak kononnya pentadbiran kerajaan sekarang bersifat liberal atau menafikan seruan Islam berikutan ada sesetengah pihak yang menafsirkan Rahmatan Lil Alamin sebagai mengiyakan kemungkaran.

Katanya, konsep Rahmatan Lil Alamin yang diperkenalkan Pakatan Harapan bukan 'tiket' untuk mengiyakan pembuatan mungkar, sebaliknya mereka jelas menolak perbuatan yang salah di sisi agama.

"Kita kena tarik pelaku kemungkaran supaya dia tidak terus terjerumus dalam keadaan itu. Itu ayat yang selalu saya sebut, tetapi masyarakat salah faham, sedangkan dalam mana-mana kenyataan, tidak pernah pun saya menyokong kepada kemungkaran.

"Cuma pelaku kemungkaran, itu yang akan melibatkan amar makruf nahi mungkar. Kita kena tegur dan bimbing dia supaya keluar dari kemungkaran...malang sekali kalau itu pun dianggap liberal, kerana ia adalah ajaran Nabi Muhammad SAW. Itu semua hanya dakwaan masyarakat. Apa yang penting adalah niat kita," katanya.

Terdahulu ketika sesi town hall, Mujahid berkata, pengenalan konsep Rahmatan Lil Alamin dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud kerajaan akan berlembut dengan perbuatan mungkar atau bertentangan dengan ajaran Islam. -Bernama