KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, pindaan terhadap Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 itu antara lain bagi membolehkan rakyat Malaysia dibebaskan daripada keberhutangan dan kebankrapan.
"Seramai 130,000 dijangka dilepaskan daripada status muflis setelah pindaan akta tersebut diluluskan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu selepas dibahas oleh 16 senator sebelum diluluskan.
Rang undang-undang berkenaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 24 Mei lepas.
Rang undang-undang itu juga memperuntukkan individu bankrap berumur 70 tahun ke atas dan pesakit mental layak dilepaskan melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) selain penambahbaikan peruntukan pelepasan automatik.
Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung Rang Undang-Undang Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023 berkata kementerian itu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membangunkan aplikasi Smart Quran.
Beliau berkata, aplikasi berkenaan adalah satu-satunya aplikasi yang telah melalui semakan kementerian dan diperakui Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran (LPPQ) sebagai alternatif bagi membolehkan rakyat merujuk kitab suci itu secara digital.
"Aplikasi itu turut menggunakan terjemahan daripada tafsir pimpinan Ar-Rahman manakala bacaan Qari diambil kebenaran bertulis daripada Mujamma Malik Fahd daripada Arab Saudi. Itu kita sediakan alternatif kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang bertanyakan mengenai tindakan pihak berkuasa bagi menyemak aplikasi al-Quran secara digital.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok. - Bernama