MERAK Jalanan amat tertarik mengenai laporan sebuah syarikat iaitu Ikhwan Fateh Poultry Sdn Bhd (IFPSB) yang mahu membina empayar bekalan ayam di negara ini.
Usaha itu bertujuan untuk mewujudkan tabungan bekalan ayam dalam negara dan membantu kerajaan dari segi keterjaminan makanan.
Cita-cita syarikat itu mewujudkan empayar bekalan ayam sudah hampir 90 peratus dilaksanakan dan hanya menunggu kelulusan kerajaan sahaja.
Menurut mereka, selepas membuat kajian didapati tidak ada orang Islam yang menguruskan baka ayam di negara ini.
Selain itu, syarikat berkenaan juga mencetuskan idea untuk mewujudkan tabungan ayam dan melakukan aktiviti penternakan ayam secara kontrak yang akan diuruskan golongan fakir miskin.
Dengan kaedah tersebut, tiada lagi perbuatan membakar anak ayam jika berlaku lebihan bekalan di pasaran, malah ia juga dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan itu.
Sehubungan itu, Merak Jalanan berharaplah agar kerajaan dapat mendengar dan menerima cadangan daripada syarikat ini dan memberikan kebenaran mereka untuk beroperasi secara besar-besar.
Lagipun, latar belakang syarikat ini memang sudah diketahui ramai tentang keupayaan mereka untuk menjalankan operasi dan seterusnya menyediakan makanan yang halal serta bersih kepada umat Islam.
Kita juga berharap dengan model perniagaan yang hendak dilaksanakan itu juga dapat menghapuskan kartel yang sering menaikkan harga ayam dengan sewenang-wenangnya.