SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan terduduk di tandas rumahnya di Taman Kelisa Ria di sini kira-kira jam 1.10 petang pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kematian mangsa disahkan pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani setelah pemeriksaan dibuat di lokasi kejadian.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dihantar ke lokasi kejadian.
"Kejadian diadu jiran yang memeriksa rumah itu selepas isteri mangsa cuba menghubungi lelaki berusia 58 tahun itu sejak jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari, namun tidak berjawab.
"Disebabkan itu, isterinya telah menghubungi jiran bagi memeriksa keadaan mangsa.
"Ketika jiran masuk ke rumahnya mendapati pintu pagar besi bertutup dan tidak berkunci selain pintu utama tidak ditutup.
"Bagaimanapun, sebaik sahaja masuk jirannya terkejut apabila melihat keadaan ruang tamu yang berlumuran darah sebelum menghubungi ambulans," katanya.
Menurut Zaidy, mayat ditemui dalam keadaan terduduk sambil mukanya berada di dalam lubang tandas selain menemui kesan kelar pada tangan sebelah kiri.
Zaidy berkata, pemeriksaan lanjut telah menemui sebilah pisau potong kertas di atas lantai ruang tamu.
Mayat dihantar ke HSAH untuk proses bedah siasat.