SHAH ALAM - Pembeli tanah lot di sebuah kawasan di Hulu Langat diingatkan tidak terjebak dan mudah tertipu dengan tawaran murah untuk memiliki tanah bagi membina kediaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, tanah lot itu menjadi kontroversi baru-baru ini dan dijual secara dalam talian.
Malah katanya, beliau menghubungi dan berjumpa sendiri dengan ejen yang menjual tanah lot berkenaan.
"Mendengar penjelasan daripada ejen menjual tanah lot ini, ada tiga persoalan yang perlu kita beri perhatian," katanya menerusi hantaran di TikTok pada Isnin.
Edry Faizal berkata, pembeli seharusnya mempunyai pengetahuan tentang syarat tanah sebelum membuat keputusan membeli lot terbabit.
"Bagi yang mempunyai pengetahuan serba sedikit berkenaan syarat geran tanah dan sebagainya mungkin berasa lega apabila mendapat tahu bahawa status tanah telah ditukarkan daripada pertanian kepada bangunan.
"Tetapi jangan terus berasa lega kerana walaupun tanah tersebut telah ditukar syarat, namun jika pembayaran premium tanah belum dibuat, saya kira keyakinan yang cuba diberikan (penjual) itu bersifat rapuh dan mengelirukan," ujarnya.
Jelas beliau, pembeli juga perlu mengetahui sama ada segala infrastruktur disediakan dan diuruskan pihak penjual seperti bekalan elektrik dan air.
"Kalau kita lihat pelan ditunjukkan kepada bakal pembeli misalnya elektrik, kita dapati sudah padat, jadi di mana akan dibina pencawang (elektrik)?.
"Begitu juga dengan paip air, adakah penjual tanah lot menyediakan infrastruktur ini mengikut spesifikasi kerana kami pernah menguruskan satu kes pembeli lot mengadu paip disediakan untuk tanah mereka terlalu kecil dan tak mampu menampung keseluruhan penduduk di tanah tersebut," jelas beliau.
Sehubungan itu, katanya, pembeli lot tanah perlu berwaspada terutama dalam soal keselamatan.
"Adakah anda bersedia untuk berdepan dengan risiko bencana tanah runtuh dan paling membimbangkan sebenarnya kalau dilihat ada lot terletak bersebelahan cerun dan kita dengar sendiri bahawa mereka tidak pernah ada perancangan untuk membina 'retaining wall' (tembok penahan) dan sebagainya," tambahnya.
Menurut Edry Faizal, meskipun akhirnya pembeli memperoleh tanah yang telah dipecah bahagian dan kemudiannya membina rumah, cerun masih berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh.
"Kita perlu berhati hati, maka jangan nanti apabila keranda sudah dibawa (berlaku kes kematian) baru bercucuran air mata," ujarnya.