Pelaksanaan insentif diskaun dan penangguhan bayaran balik oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini amat baik dan wajar diteruskan.
Golongan belia yang menjadi peminjam khususnya mereka yang datang daripada keluarga B40 bersyukur dengan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2023 ini.
Inisiatif itu termasuk diskaun 15 peratus bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (mengikut jadual bayaran balik) dan diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.
Ia juga melibatkan inisiatif tawaran kedua iaitu pemberian penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan.
Penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyambut baik insentif diskaun dan penangguhan bayar balik yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi pembiayaan pendidikan itu.
Jelasnya, hasrat kerajaan untuk mendekati golongan mahasiswa wajar dipuji namun beberapa pendekatan perlu dikaji semula agar mereka yang benar-benar layak sahaja boleh menerima manfaat ini.
"Kalau lihat mengenai insentif ini, memang banyak manfaatnya kepada rakyat khususnya penuntut yang datang daripada keluarga susah.
"Ini termasuklah penyelesaian hutang pembiayaan dengan diskaun 20 peratus jika dapat dilangsaikan hutang dan juga diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang perlu dikaji semula.
"Ini kerana tidak semua mahasiswa datang daripada keluarga yang senang, jadi diskaun jika dapat bayar semua atau separuh ini hanya keluarga T20 sahaja yang mampu,” ujarnya.
Layari www.budget.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.